KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu depan.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan barisan pengadil terbaik bagi mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.
Beliau berkata ia melibatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Keputusan menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
“Kemuncak aksi final Piala Malaysia ini sudah pasti merupakan perlawanan berprofil tinggi. Dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia mampu meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Ghani berkata kehadiran pengadil luar negara itu juga dapat membuka ruang pertukaran kepakaran kepada pengadil tempatan dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan negara.
“Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman bagi membantu pembangunan standard pengadilan tempatan,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu turut dibuat susulan cadangan penggunaan pengadil luar negara yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lepas.
Katanya MFL sentiasa terbuka mendengar cadangan daripada rakan kongsi liga bagi menambah baik semua aspek pengelolaan pertandingan, namun penggunaan pengadil luar negara memerlukan pertimbangan teliti kerana melibatkan kos tinggi.
-- BERNAMA