KUCHING: Ombudsman Sarawak menerima 67 aduan yang melepasi proses saringan setakat ini melibatkan isu salah pentadbiran dalam agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata walaupun ratusan aduan diterima, hanya aduan yang mempunyai bukti dan berada dalam bidang kuasa Ombudsman Sarawak akan diproses.
“Kita terima beratus-ratus aduan tetapi sesetengah aduan itu hanya dakwaan tanpa bukti, namun kita ambil maklum. Ada yang melibatkan jenayah terus dipanjangkan kepada polis dan yang jelas ada unsur rasuah kita terus hantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ada juga aduan yang telah diselesaikan di mahkamah, jadi kita tidak campur kerana bukan dalam bidang kuasa kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat bersama ahli Ombudsman Sarawak ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata Ombudsman Sarawak ketika ini memberi fokus terhadap isu salah pentadbiran melibatkan agensi kerajaan negeri dan tidak melibatkan agensi Persekutuan.
Katanya Ombudsman Sarawak kini beroperasi sepenuhnya selepas keanggotaan badan itu mencapai jumlah minimum lima ahli seperti diperuntukkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023.
Juanda berkata Ombudsman Sarawak merupakan institusi pertama seumpamanya diwujudkan di Malaysia dan penubuhannya penting dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik di negeri itu.
Beliau berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan menerusi surat, e-mel dan laman sesawang rasmi Ombudsman Sarawak yang dilancarkan tahun lepas, selain aplikasi aduan sedang dibangunkan dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd.
Pada Rabu, DUN Sarawak meluluskan usul bagi melantik Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menilai laporan tahunan Ombudsman Sarawak seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 42(3) Ordinan Ombudsman Sarawak 2023.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) dan turut dianggotai See Chee How (Bebas-Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa), Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu), Anyi Jana (GPS-Ngemah) dan Royston Valentine (GPS-Tellian).
-- BERNAMA