KUALA LUMPUR: Sebanyak 54 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang menuju ke Gaza kini berada di Yellow Zone 2, kira-kira 340 batu nautika dari pantai wilayah itu dan dijangka memasuki zon berisiko tinggi dalam tempoh beberapa jam akan datang.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, situasi itu meningkatkan kemungkinan berlaku pemintasan oleh pihak rejim Zionis Israel terhadap misi kemanusiaan berkenaan.
Menurutnya, flotila terbabit kini berada pada fasa paling kritikal apabila bakal memasuki kawasan berisiko tinggi pada waktu malam, sekali gus membuka ruang kepada tindakan sekatan terhadap misi bantuan itu.
“Pemintasan yang mungkin dilakukan oleh pihak rejim Zionis adalah bertujuan menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang selama ini sah di bawah klausa UNCLOS, yang membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan bergolak tanpa sekatan,” katanya.
Beliau berkata, sebarang tindakan pemintasan terhadap kapal flotila berkenaan akan dijadikan bukti salah laku rejim Zionis untuk dibawa ke peringkat perundangan antarabangsa dengan kerjasama rangkaian peguam antarabangsa.
SNCC turut menyeru rakyat Malaysia mengikuti perkembangan misi berkenaan sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kesaksian masyarakat dunia akan membuktikan bahawa laluan laut tersebut boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza secara terus tanpa sebarang halangan atau sekatan,” tegasnya.
Dalam pada itu, SNCC menyifatkan situasi semasa di Gaza adalah pengulangan kepada tragedi Nakba 1948 yang menyaksikan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tanah air susulan penubuhan negara Israel di bumi Palestin.
Sehubungan itu, SNCC melancarkan “Sumud Protocol” sebagai pelan tindakan fasa pertama yang merangkumi empat usaha utama, termasuk menggerakkan sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.
Selain itu, SNCC turut mengesahkan Deklarasi Brussels bersama ahli parlimen antarabangsa bagi meningkatkan tekanan diplomatik dan ekonomi terhadap Israel, selain melancarkan siaran langsung selama 100 jam mengenai misi flotilla itu.
"SNCC mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan oleh ahli-ahli parlimen dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) dalam meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim susulan pencabulan undang-undang antarabangsa serta sekatan kemanusiaan ke atas Gaza," katanya.
SNCC juga memaklumkan bahawa Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) dengan sokongan Kerajaan Malaysia akan menggerakkan usaha memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan pencabulan undang-undang antarabangsa di perairan antarabangsa.