PENGURUS Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Razmin Masli menganggap hukuman terhadap pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, tidak akan menjejaskan momentum menjelang pusingan seterusnya di Litar Antarabangsa Chang pada 8 hingga 10 Mei ini.
Hafizh dikenakan denda hampir RM2,000 oleh Asia Road Racing Championship (ARRC) namun ia tidak mempengaruhi kemenangannya pada pusingan pertama serta masih mendapat perolehan mata penuh 50 mata selepas menamatkan saingan pusingan pertama.
Pengurus pasukan JDT Racing, Razmin Masli, berkata, “Ya, betul. Saya sahkan denda tersebut adalah benar. Tetapi secara keseluruhan Hafizh berada dalam keadaan baik dan isu tersebut tidak mempengaruhi sebarang potongan mata atau keciciran mata."
Pelumba yang turut mesra disapa 'Pescao' bagaimanapun perlu menjalani denda Long Lap pada pusingan kedua di Buriram.
Mengulas insiden tersebut, Razmin akui perkara yang dilakukan PESCAO memang tidak dibenarkan dan menerima denda yang dikenakan ARRC kepada Hafizh.
“Pihak kami memang tidak ada apa apa bantahan kepada ARRC dan terima sebulat suara keputusan tersebut kerana akui kesalahan tersebut memang mengundang bahaya dan mampu menjejaskan pelumba lain”
“Sepatutnya Hafizh berada pada sebelah kiri jika ingin memperlahankan “riding”nya tetapi dia berada di tengah dan ia nyata membahayakan bukan sahaja pelumba lain malah dirinya juga.”
Tindakan pelumba Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing itu hampir menyebabkan pelanggaran di garisan penamat dalam perlumbaan kedua selepas memperlahankan jenteranya secara mengejut.
Ia hampir menyebabkan pelumba Indonesia iaitu rakan sepasukan, Andi Farid Izdihar, hampir melanggarnya ketika sedang memecut ke garisan penamat.
Susulan insiden tersebut, Race Direction memutuskan Hafizh melanggar peraturan Artikel 1.21.18 dan Artikel 1.21.2.3, lalu dikenakan denda serta penalti Long Lap untuk perlumbaan seterusnya.
Insiden tersebut bakal dijadikan pengajaran berharga JDT Racing Team untuk terus bernafsu dalam pemburuan kejuaraan setiap pusingan. -- Stadium Astro