Skip to main content

Dunia

Trafik melalui Selat Hormuz hampir terhenti susulan ancaman sekatan AS - Data

A vessel at the Strait of Hormuz, off the coast of Oman’s Musandam province, April 12, 2026. REUTERS
Setakat pukul 11:57 GMT, hanya terdapat sebuah kapal tangki di bawah bendera Comoros dikesan berada di selat berkenaan, selain kapal membawa muatan bijirin di bawah bendera Panama dan Kepulauan Marshall, lapor data itu. - Gambar fail

WASHINGTON: ergerakan melalui Selat Hormuz dilaporkan hampir terhenti sepenuhnya menjelang kemungkinan pelaksanaan sekatan maritim oleh Amerika Syarikat (AS), menurut data pergerakan kapal di kawasan itu yang diteliti oleh RIA Novosti.

Setakat pukul 11:57 GMT, hanya terdapat sebuah kapal tangki di bawah bendera Comoros dikesan berada di selat berkenaan, selain kapal membawa muatan bijirin di bawah bendera Panama dan Kepulauan Marshall, lapor data itu.

Pada 12 April, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa AS akan memulakan sekatan terhadap semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz. Beliau turut mengarahkan Tentera Laut AS untuk mengesan dan memintas semua kapal yang membayar yuran kepada Iran bagi laluan melalui selat itu.

Pada Sabtu, Iran dan AS memulakan rundingan di Islamabad selepas Trump mengumumkan beliau telah mencapai persetujuan dengan Tehran mengenai gencatan senjata selama dua minggu.

Bagaimanapun, pada pagi Ahad, ketua delegasi AS yang juga Naib Presiden JD Vance mengumumkan  bahawa Iran dan AS gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan itu dan delegasi AS akan pulang tanpa sebarang perjanjian.

Pada 28 Feb lepas, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran termasuk di Tehran, yang mengakibatkan kerosakan serta kehilangan nyawa orang awam. Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video