KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) dan atlet berbasikal muda negara, Sawda Hasbullah, masing-masing mencuri tumpuan apabila mendapat pengiktirafan pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100Plus 2025, atas pencapaian cemerlang dalam arena sukan tanah air.
KHM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara badan sukan paling dinamik di negara ini hasil pencapaian konsisten di pentas antarabangsa serta pembangunan ekosistem hoki tempatan yang menyeluruh.
Selain berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menerusi prestasi skuad lelaki senior, badan induk itu turut menyediakan laluan pembangunan lengkap merangkumi peringkat akar umbi hingga skuad kebangsaan.
Kejayaan tersebut didorong oleh pengurusan strategik di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, yang memainkan peranan penting dalam memastikan hoki negara kekal kompetitif di peringkat global.
Komitmen tingginya, termasuk penggunaan dana peribadi mencecah jutaan ringgit, telah membawa KHM ke tahap baharu dalam usaha memperkukuh program pembangunan hoki tempatan serta prestasi skuad kebangsaan.
Sepanjang 2025, skuad lelaki negara, mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga saingan Piala Asia, selain terus menguasai Asia Tenggara dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Thailand.
Kecemerlangan turut dipamerkan skuad hoki lima sebelah yang meraih pingat emas di temasya sama, manakala skuad lelaki bawah 18 tahun (B-18) membawa pulang pingat gangsa Piala Asia B-18 di China.
Seiring dengan pencapaian itu, KHM selayaknya dinobatkan penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik SAM 100Plus 2025.
Sementara itu, dalam kategori individu, Sawda Hasbullah muncul penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik SAM 100Plus 2025 selepas mempamerkan prestasi luar biasa di pentas antarabangsa.
Kilauan emas yang diraih anak jati Melaka itu di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) pada Februari tahun lepas, mengukuhkan statusnya sebagai permata baharu sukan berbasikal negara.
Sawda mencipta sensasi apabila meraih pingat emas dalam acara 1 kilometer ujian masa wanita remaja, di samping memecahkan rekod remaja Asia yang turut diiktiraf sebagai rekod dunia, meskipun ketika itu sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kejayaan tersebut disusuli dengan emas kedua apabila menewaskan wakil Korea Selatan Park Hye Rin, 2-0 dalam acara final pecut wanita di Velodrom Nasional, Nilai.
Pengiktirafan yang diterima itu sekali gus mengukuhkan reputasi Sawda sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam sukan berbasikal negara.
Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak, berkata faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan diraih dan kegigihan dalam meningkatkan mutu sukan hoki membolehkan KHM dipilih penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik, manakala kejayaan luar biasa Sawda menyumbang pingat emas ACC serta pemegang rekod dunia acara 1 kilometer ujian masa wanita remaja, menjadi faktor pemilihannya sebagai Atlet Muda Terbaik kali ini.
"Untuk tahun ini kita merasakan sememangnya KHM layak untuk menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan pencapaian serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik.
"Dalam usia yang masih muda, Sawda mempunyai masa yang panjang untuk terus menyerlah sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan berbasikal wanita.” katanya.
Pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik, turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2025, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 ialah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular. -- Stadium Astro