Skip to main content

Malaysia

Farhash nafi dakwaan terlibat pengubahan wang haram, sifatkan tuduhan sebagai fitnah jahat

IPOH, 8 Dis -- Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ketika ditemui semasa meninggalkan Istana Kinta Ipoh selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Farhash menyatakan kekesalannya terhadap penyebaran rakaman video tersebut yang dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta berpotensi melanggar undang-undang negara. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti pengubahan wang haram dan pemilikan kewarganegaraan asing, menyifatkannya sebagai fitnah jahat yang bertujuan meraih kepentingan politik.

Farhash dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan bahawa beliau bukan seorang warganegara Turkiye dan tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang dilemparkan dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini.

"Saya bukan seorang warganegara Turki, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turkiye.

“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terlibat dengan bidang politik sekarang. Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik," katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap penyebaran rakaman video tersebut yang dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta berpotensi melanggar undang-undang negara.

Susulan itu, Farhash memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang menyentuh mengenai fitnah.

"Saya memandang serius penyebaran rakaman video tersebut, yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya telah menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan akan memberi kerjasama penuh kepada mereka dalam proses siasatan ini," tambahnya lagi.

Selain laporan polis, beliau juga telah mengarahkan barisan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut bagi melindungi nama baik serta kepentingan perniagaannya.

Must Watch Video