LAWAN JDT sudah diketahui! Ini merupakan kali pertama JDT akan menentang kelab Arab Saudi.
Wakil kebanggaan Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), akan bertemu gergasi Arab Saudi, Al-Ahli, dalam pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Jumaat ini.
Selepas hampir sebulan menanti jawapan, akhirnya juara bertahan kejohanan berprestij itu bakal menjadi halangan dan pencabar terkuat buat skuad Harimau Selatan sepanjang kempen kali ini.
Ia, susulan Al-Ahli menoktahkan kemenangan 1-0 menewaskan Al-Duhail menerusi jaringan bekas bintang Manchester City, Riyad Mahrez, dalam aksi yang berlangsung selama 120 minit.
Sebelum ini, empat perlawanan pusingan 16 terpaksa ditunda ekoran konflik di Asia Barat, namun kini ACLE akan meneruskan kejohanan seperti sedia kala.
Pasukan bimbingan Xisco Munoz yang mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah akan menerima tentangan sengit daripada Al-Ahli untuk menentukan kemaraan seterusnya ke separuh akhir.
Dalam perkembangan sama, JDT dalam satu hantaran menyaksikan kelibat tonggak Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi, kembali menyertai kelab mengikuti penerbangan ke Jeddah selepas sekian lama berehat daripada kecederaan.
Laporan Stadium Astro sebelum ini mengatakan Xisco Munoz tidak berhajat menurunkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M) itu meskipun mengakui memerlukan khidmatnya.
Adakah Arif Aiman akan kembali diturunkan?
Mampukah JDT melakar kejutan? -- Stadium Astro