FESTIVAL lumba kuda berprestij, Cheltenham Festival, tahun ini dicemari tragedi apabila empat ekor kuda dilaporkan mati sepanjang kejohanan, termasuk dua pada hari terakhir perlumbaan.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah Envoi Allen, yang menyertai perlumbaan utama Cheltenham Gold Cup yang dimenangi oleh Gaelic Warrior.
Envoi Allen menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan sebelum rebah di atas trek sejurus selepas perlumbaan. Pihak Cheltenham Racecourse memaklumkan kuda tersebut segera menerima rawatan daripada pasukan veterinar, namun gagal diselamatkan.
Menurut Pengarah Kawal Selia Keselamatan dan Kebajikan Equine, James Given, kejadian itu dikenal pasti sebagai 'Exercise Associated Sudden Death', iaitu kematian mengejut yang boleh berlaku kepada kuda ketika melakukan aktiviti fizikal intensif.
Dia menjelaskan bahawa kes seperti itu jarang berlaku dalam perlumbaan, dengan statistik menunjukkan hanya sekitar sembilan kes bagi setiap 10,000 perlumbaan.
Selain Envoi Allen, seekor lagi kuda iaitu Saint Le Fort terpaksa 'ditidurkan' (dimatikan) selepas mengalami kecederaan serius akibat terjatuh di halangan terakhir dalam perlumbaan penutup festival.
Dua lagi kematian melibatkan HMS Seahorse yang maut selepas terjatuh pada Rabu, serta Hansard yang 'ditidurkan' (dimatikan) selepas mengalami kecederaan pada Selasa.
Pihak penganjur menyatakan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut dan menegaskan semua kuda yang bertanding telah menjalani pemeriksaan veterinar menyeluruh sebelum dibenarkan berlumba.
Walaupun kadar kecederaan maut dalam sukan lumba kuda Britain dilaporkan menurun kepada kurang daripada lima kes bagi setiap 1,000 kuda, setiap insiden tetap akan disiasat secara terperinci sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dalam sukan itu.
Sejak tahun 2000, sebanyak 82 ekor kuda dilaporkan mati sepanjang sejarah Festival Cheltenham, sekali gus menimbulkan perdebatan berterusan mengenai tahap keselamatan dalam perlumbaan kuda profesional. - Stadium Astro