Skip to main content

Malaysia

Speedy Tiger akur kehebatan Jepun, tewas 4-5

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan menutup kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 Ismailia Mesir dikedudukan empat pasukan terbaik yang mana sekaligus membawa mereka ke Piala Dunia Lelaki 2026.
Skuad negara berkemungkinan masih layak ke Piala Dunia Hoki 2026 Belanda-Belgium, apabila ranking dunia semasa menyaksikan Malaysia di tangga ke 15.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara tewas 4-5 kepada Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir pada Sabtu. 

Skuad Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ryoma Ooka pada minit ke-15 sebelum pasukan kendalian Sarjit Singh menyamakan kedudukan menerusi Fitri Saari pada minit ke-30. 

Pasukan Speedy Tigers menggandakan kedudukan menerusi gol padang Marhan Jalil dan Syed Cholan pada minit ke-30 dan 35. 

Namun, Jepun merapatkan jurang apabila Kazumasa Matsumoto meledak jaringan padang selang tiga minit kemudian sebelum Raiki Fujishima menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-52.

Lawan terus menghukum Speedy Tigers dengan dua lagi jaringan menerusi Koji Yamasaki pada minit ke-55 dan 57 sebelum Malaysia memperoleh gol keempat menerusi Faizal Saari, dua minit sebelum perlawanan berakhir.

Bagaimanapun, skuad negara berkemungkinan masih layak ke Piala Dunia Hoki 2026 Belanda-Belgium, apabila ranking dunia semasa menyaksikan Malaysia di tangga ke 15, mengatasi Wales di tangga ke-16 dan Poland di tangga ke-20 yang beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dalam satu lagi pusingan kelayakan.

Slot ketujuh kejohanan itu diberikan kepada pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi antara dua pasukan yang kalah dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di kedua-dua kelayakan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video