Skip to main content

Malaysia

Piala Uber 2026: Thinaah optimis skuad wanita mampu bersinar di Horsens

Sumber: BERNAMA
Meskipun beraksi tanpa pasangan tetapnya Pearly Tan, Thinaah percaya kekuatan pasukan tidak terjejas, malah skuad kali ini dibarisi banyak pemain muda yang bersemangat tinggi selain menunjukkan perkembangan positif. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kapten skuad badminton wanita negara M. Thinaah yakin barisan pemain Malaysia sudah bersedia untuk menggalas cabaran pada saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Meskipun beraksi tanpa pasangan tetapnya Pearly Tan, Thinaah percaya kekuatan pasukan tidak terjejas, malah skuad kali ini dibarisi banyak pemain muda yang bersemangat tinggi selain menunjukkan perkembangan positif.

“Memang sedih dengan ketiadaan Pearly. Saya rasa semua orang mahu beliau bermain dan beliau sendiri pun mahu berada di sini.

“Namun, ini adalah acara berpasukan dan kami masih mempunyai pemain lain, khususnya pemain muda,” katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada media hari ini.

Beliau berkata persiapan pasukan pada kem latihan di Herning, Denmark setakat ini berjalan lancar.

“Beberapa hari ini adalah permulaan yang baik untuk kami semua, terutama pasukan wanita. Ini satu perkembangan positif dan kami berharap dapat membawa momentum ini ke Piala Uber,” katanya.

Dalam pada itu, tempat Pearly yang digantikan oleh pemain muda negara Chong Jie Yu dilihat bersemangat untuk membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

Thinaah turut menyuarakan kesediaan untuk membantu dan membimbing pemain muda itu menyesuaikan diri dalam pasukan.

Beregu lain yang akan beraksi pada Piala Uber 2026 ialah gandingan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah manakala K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei dipilih untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video