Skip to main content

Malaysia

Piala Thomas: Zii Jia tuntut rakan sepasukan kuatkan mental

HORSENS (Denmark), April 29 -- Malaysia men’s singles player Lee Zii Jia in action against Koki Watanabe of Japan in their Group B match of the BWF Thomas & Uber Cup Finals 2026 at Forum Horsens, today.
Lee Zii Jia meminta rakan sepasukan untuk menguatkan mental bagi menghadapi saingan suku akhir Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, Denmark, esok.

HORSENS, DENMARK: Pemain lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meminta rakan sepasukan untuk menguatkan mental bagi menghadapi saingan suku akhir Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, di sini, esok.

Zii Jia berkata, mental yang kuat mampu membantu mereka untuk mengharungi peringkat suku akhir kali ini yang disifatkannya semakin mencabar berbanding saingan kumpulan.

“Tahap mental sangat penting. Bukan senang dalam acara berpasukan sebab ada kalanya menang, tetapi ada mata penting, kita kalah dan akan beri kesan kepada mental pemain.

“Saya harap kepada rakan-rakan saya, tidak kira yang menang atau kalah boleh tahan mental mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Pemain ranking ke-82 itu menyumbang mata kedua Malaysia, ketika tewas 2-3 kepada juara edisi 2014, Jepun, pada aksi terakhir Kumpulan B, semalam.

Zii Jia melakar kemenangan mudah ke atas pemain ranking ke-20 dunia Koki Watanabe 21-13, 21-19, dalam masa 41 minit sekali gus mengakhiri badi tiga kekalahan berturut-turut kepada lawannya.

Walaupun Malaysia tidak berjaya mengatasi Jepun, pemain berusia 28 tahun itu optimis skuad negara akan bangkit lebih kuat di peringkat kalah mati.

Keputusan tersebut bukan sahaja mengesahkan kemaraan Jepun ke suku akhir selaku juara Kumpulan B, malah turut membalas dendam kekalahan kepada Malaysia pada dua edisi terdahulu di Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.

Malaysia sebelum itu menewaskan England 3-2 dan Finland 4-1 untuk melangkah ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan B

Undian peringkat kalah mati akan berlangsung 10.30 pagi ini (4.30 petang waktu Malaysia).

Piala Thomas 2026 berlangsung pada 24 April hingga 3 Mei ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video