Skip to main content

Malaysia

Selangor FC cadang tiga langkah utama perkukuh tadbir urus Liga-M

KUALA LUMPUR, 29 April -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon ditemui media selepas menghadiri perbincangan meja bulat bersama wakil kelab Liga Malaysia (Liga-M) di EQ Kuala Lumpur hari ini.  Sesi itu diadakan bagi meneliti pandangan serta kebimbangan kelab menjelang musim baharu yang dijangka bermula Ogos ini, termasuk isu kewangan, kos operasi dan kebajikan pasukan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penubuhan badan pengadil profesional yang bebas ini boleh menjadikan Liga Malaysia sebagai satu penanda aras yang baik di peringkat ASEAN, kata Johan. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Selangor FC mencadangkan penubuhan badan pengadil profesional sebagai antara tiga langkah utama bagi meningkatkan kualiti pengadilan dan memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, cadangan itu dilihat penting dalam usaha memperkasa integriti pertandingan serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem pengadilan liga.

Beliau berkata, penubuhan badan pengadil profesional yang bebas ini boleh menjadikan Liga Malaysia sebagai satu penanda aras yang baik di peringkat ASEAN.

“Kedua  ialah cadangan supaya Rakan Kongsi Liga Malaysia sebagai pemegang taruh terbesar dalam Liga Malaysia diberi lebih perwakilan dalam lembaga pengarah MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

“Ketika ini Rakan Kongsi Liga hanya mempunyai tiga wakil dalam board (lembaga) dianggotai 10 orang. Jadi, saya rasa penting untuk mempunyai sekurang-kurangnya majoriti kerusi, contohnya enam daripada 10 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M di sini, semalam.

Sementara itu, Johan Kamal berkata, cadangan ketiga ialah mewujudkan ruang rujukan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) agar dapat membantu meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan liga, selain memberi keyakinan tambahan kepada pelabur dan penaja.

Perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga-M itu diadakan susulan gesaan beberapa kelab supaya satu platform rasmi diwujudkan untuk membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan serta hala tuju liga yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Antara isu berulang sering dibangkitkan ialah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan.

Perbincangan meja bulat itu kemudiannya turut disertai pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang menyampaikan pandangan berhubung beberapa isu asas yang perlu diberi perhatian serius termasuk aspek pembangunan akar umbi, pengadilan, penajaan dan disiplin kewangan dalam kalangan kelab.

-- BERNAMA

Must Watch Video