Skip to main content

Malaysia

NEXT ON HITZ fasa kedua bermula, 14 finalis berebut peluang jadi penyampai radio

Sumber: HITZ
HITZ kembali mencuri perhatian apabila melancarkan fasa kedua NEXT ON HITZ, pertandingan pencarian bakat penyampai radio baharu yang kini memasuki peringkat lebih mencabar selepas menerima sambutan luar biasa daripada peserta di seluruh negara.

KUALA LUMPUR: HITZ kembali mencuri perhatian apabila melancarkan fasa kedua NEXT ON HITZ, pertandingan pencarian bakat penyampai radio baharu yang kini memasuki peringkat lebih mencabar selepas menerima sambutan luar biasa daripada peserta di seluruh negara.

Menurut kenyataan HITZ, sebanyak lebih 400 penyertaan diterima menerusi sesi uji bakat secara dalam talian yang dijalankan menerusi platform TikTok rasmi stesen radio berkenaan.

Daripada jumlah itu, hanya 14 peserta terbaik berjaya disenarai pendek untuk mara ke fasa seterusnya, sebelum melalui siri cabaran intensif yang direka bagi menguji kesediaan mereka dalam dunia penyiaran radio sebenar.

Kesemua finalis akan ditempatkan di Astro Bukit Jalil dari 27 April hingga 8 Mei 2026, sebelum berpindah ke Tribeca Bukit Bintang bermula 3 hingga 8 Mei.

Sepanjang tempoh tersebut, peserta akan diuji menerusi pelbagai tugasan realistik termasuk penulisan skrip siaran, temu bual selebriti, tugasan vox pop serta asas penyuntingan kandungan digital, yang merangkumi penilaian kreativiti, keyakinan dan kebolehan siaran secara langsung.

Pengurus Jenama HITZ, Sean Farrell Matjeraie berkata, fasa ini merupakan penentu utama bagi mengenal pasti calon yang benar-benar layak bergelar penyampai radio profesional.

“Peringkat ini menguji sepenuhnya kemampuan peserta sebelum mereka melangkah ke dunia sebenar siaran radio. Mereka juga akan menerima bimbingan secara langsung daripada HITZ Morning Crew — Anne, Ili dan Prem — bagi membantu membentuk potensi mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menyertai pertandingan itu, sambil menyifatkan sambutan yang diterima sebagai amat memberangsangkan.

“Kami berjaya menemui bakat-bakat hebat dari seluruh Malaysia,” tambahnya.

Peserta yang berjaya dinobatkan sebagai juara bakal ditawarkan jawatan sepenuh masa di HITZ dengan kontrak selama setahun bernilai RM50,000.

Proses penyingkiran harian akan diumumkan secara eksklusif menerusi TikTok rasmi HITZ, setiap malam dari 8.00 malam hingga 9.00 malam.

HITZ merupakan antara 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio dan terkenal sebagai stesen radio berbahasa Inggeris yang menampilkan lagu-lagu hit terkini, muzik trending serta kandungan hiburan terhangat.

Dengan lebih 300,000 pengikut di TikTok, HITZ terus mengukuhkan kedudukan sebagai jenama muzik pop budaya pilihan golongan muda. 

Pendengar boleh mengikuti siaran menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi atau aplikasi HITZ yang boleh dimuat turun di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

Must Watch Video