KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan terus memperkasa pembangunan bola sepak negara di sebalik kemelut yang melanda sukan berkenaan ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pemerkasaan itu termasuk membangunkan bola sepak tanah air di peringkat akar umbi menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Dr Mohammed Taufiq berkata beliau juga akan melancarkan beberapa program di bawah NFDP dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman, baru-baru ini.
“Kita memperkasakan program NFDP dalam memastikan lebih ramai lagi bakat baharu dapat dicungkil.
“Sebab bagi saya yang paling penting adalah untuk kita terus maju ke hadapan, pastikan bola sepak kita ini tidak ketinggalan jauh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Esukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia Esports Accelarator Program (MEAP) 2026 di Puchong, hari ini.
Justeru, Dr Mohammed Taufiq menaruh harapan agar seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tidak putus semangat dan terus menyokong pembangunan bola sepak negara.
Arena bola sepak negara ketika ini sedang berdepan isu pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan tujuh pemain warisan negara.
Tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Minggu lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain tersebut terhadap hukuman dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan. Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap FAM dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.
Isu berkenaan mula terbongkar pada September lepas setelah FIFA mendapati dokumen dipalsukan digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara yang mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.
-- BERNAMA