KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyeru semua pihak supaya tampil dengan bukti kukuh berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan pemain warisan negara, sebelum diserahkan kepada agensi berkuasa untuk siasatan lanjut.
Baginda menegaskan, sebarang tindakan perlu berlandaskan fakta dan undang-undang, bukannya sekadar spekulasi atau lontaran teori tanpa asas yang jelas.
“Inilah pentingnya kita menggunakan segala bukti dan fakta yang ada dan serahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang.
“Bukan setakat teori. Kumpul semua bukti yang ada beramai-ramai demi bola sepak tanah air,” titah baginda menerusi hantaran balas di platform X.
Tunku Mahkota Ismail mengulas perkara itu sebagai respons kepada satu hantaran oleh akaun Youth Football Malaysia yang menzahirkan kebimbangan terhadap polemik serta kepincangan yang didakwa terus membelenggu industri bola sepak tempatan.
Menurut hantaran berkenaan, isu asas seperti kemudahan padang, pusat latihan, pertandingan dan pembangunan akademi masih berada dalam proses penambahbaikan dan diyakini mempunyai jalan penyelesaian.
Namun, akaun itu mendakwa isu lebih kompleks seperti penipuan dokumen, manipulasi pengadilan, salah urus liga dan pelanggaran kontrak sebagai masalah “kronik” yang lebih sukar ditangani.
Terdahulu, FIFA menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan rayuan kepada FIFA, namun ditolak sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Keputusan muktamad mengenai rayuan itu belum dikeluarkan, selepas prosiding perbicaraan selesai baru-baru ini.