PUTRAJAYA: Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 21 hingga 27 Mei meningkat 10 sen kepada RM4.97 seliter berbanding RM4.87 sebelum ini susulan tekanan berterusan terhadap pasaran minyak global akibat konflik Asia Barat.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, harga petrol RON97 turut naik 15 sen kepada RM4.85 seliter berbanding RM4.70, manakala harga runcit RON95 meningkat 20 sen kepada RM4.07 seliter daripada RM3.87 sebelum ini.
"Kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi secara bersasar menerusi beberapa skim bantuan termasuk BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, selain diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter.
"Lebih 14 juta penerima terus layak menikmati subsidi RON95 melalui program BUDI MADANI, dengan kerajaan menanggung lebih separuh kos sebenar bahan api tersebut bagi penggunaan sehingga 200 liter sebulan," jelas kenyataan itu.
Tambah Kementerian Kewangan, kemelut geopolitik di Asia Barat yang berlarutan lebih 11 minggu tanpa sebarang tanda penyelesaian memberi tekanan besar terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum dunia.
“Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras pra-konflik sekitar AS$70 setong.
“Pada masa sama, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.