Skip to main content

Malaysia

Sarawak rancang tubuh agensi angkasa sendiri - Abang Johari

KUCHING, 20 Mei -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membahas usul penggulungan ketika persidangan hari terakhir Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini._BERNAMA
Abang Johari membahas usul penggulungan ketika persidangan hari terakhir Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 hari ini. - Gambar Bernama

KUCHING: Sarawak merancang untuk menubuhkan agensi angkasa sendiri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata agensi itu akan menjadi entiti penyelarasan utama dengan peranan merancang, menjalin kerjasama dan membangunkan keupayaan tempatan.

“Selain itu, Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak (SAAC) telah ditubuhkan untuk menyediakan hala tuju strategik dan panduan komprehensif dalam memacu penubuhan sektor aeroangkasa Sarawak, selaras dengan piawaian industri global semasa,” katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Yang Dipertua Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini. 

Beliau berkata Sarawak juga menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama menjelang 2030, melalui teknologi berasaskan CubeSat yang melibatkan penggunaan satelit kecil untuk data masa nyata dan pemerhatian bumi.

“Sarawak akan mempunyai keupayaan untuk membangunkan satelit sendiri bagi mendapatkan imej bumi, data geolokasi dan maklumat strategik untuk perancangan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan sumber,” katanya.

Sementara itu, berhubung AirBorneo, Abang Johari berkata syarikat penerbangan itu sedang dibangunkan secara berfasa dengan fasa satu menumpukan kepada penyatuan operasi obligasi perkhidmatan awam untuk menyediakan perkhidmatan laluan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Pada fasa kedua, AirBorneo akan memperluas operasi ke laluan komersial domestik dan serantau berdasarkan permintaan pasaran dan ketersediaan pesawat. 

“Untuk operasi awal jet, AirBorneo merancang untuk memulakan laluan sasaran dari Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta (Indonesia) dan Singapura menjelang Julai 2026.

“Menjadi visi kami untuk menghubungkan Sarawak dengan bandar utama. Melalui hubungan udara secara langsung, AirBorneo akan meningkatkan kesalinghubungan rakyat negeri ini, pelabur dan pelancong selain mewujudkan peluang baharu untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement