KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Datuk Awang Kadin Tang dilantik sebagai Pemangku Presiden SAFA sehingga hujung tahun ini.
Setiausaha Agung SAFA Shamsuddin Mohd Shah berkata pelantikan itu diputuskan sebulat suara dalam Mesyuarat Eksekutif SAFA selepas peletakan jawatan Datuk Shahelmey Yahya berkuat kuasa 1 Jan.
“Sepanjang tahun ini tiada pemilihan baharu kerana jika diadakan sekarang, SAFA perlu mengadakan dua kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Oleh itu, kita membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada hujung tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shamsuddin berkata SAFA akan membubarkan barisan Ahli Majlis Tertinggi sedia ada pada AGM itu sebelum melantik kepimpinan baharu termasuk presiden.
Sementara itu, Pengurus Sabah FC Muhd Arziz Afizy Rumsani menyifatkan kejayaan pasukan itu mara ke dua perlawanan akhir dalam satu musim sebagai perkembangan positif yang membuktikan peningkatan prestasi pasukan.
Arziz berkata kejayaan ke final Piala FA dan Piala Cabaran membuktikan Sabah FC mampu bersaing pada peringkat tertinggi walaupun sebelum ini berhadapan pelbagai kekangan.
“Pencapaian ini memberi suntikan semangat kepada pasukan kerana sudah lama Sabah FC tidak menjulang trofi utama,” katanya.
Kali terakhir Sabah FC menjuarai Piala FA ialah pada 1995 sebelum kembali meraih kejayaan apabila muncul juara Liga Premier pada 2019.
Dalam pada itu, Arziz yakin dengan kemampuan barisan pemain untuk menghadapi baki saingan Liga Super selain memberikan fokus penuh kepada Piala Cabaran.
“Sasaran utama ketika ini ialah memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan memastikan Sabah FC mampu memberikan cabaran terbaik dalam perlawanan akhir Piala Cabaran,” katanya.
-- BERNAMA