Skip to main content

Malaysia

AFC yakin nasib Harimau Malaya tidak sama seperti Timor Leste

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status pendaftaran pemain warisan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC. -- stadiumastro
Windsor menjelaskan, kes berkenaan kini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC yang sedang menilai semua fakta serta penjelasan dikemukakan oleh FAM. - Foto Stadium Astro

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkemungkinan tidak menerima nasib sama seperti Timor Leste susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul berkata, kes penggunaan pemain tidak sah membabitkan Timor Leste dan Malaysia mempunyai perbezaan ketara dari sudut masa kesalahan itu dikesan.

“Dalam kes Timor Leste, kesalahan itu ditemui selepas pertandingan sudah tamat. Apabila pertandingan sudah berakhir dan barulah kesalahan ditemui, hukuman tidak boleh dikenakan secara retroaktif. Hukuman perlu dilaksanakan untuk masa hadapan. Itu logiknya.

“Pertandingan sudah selesai sebelum didapati dokumen-dokumen yang digunakan adalah palsu. Jadi apabila Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan, mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman ke belakang, sebaliknya hukuman perlu dikenakan ke hadapan. Maka atas sebab itu Timor Leste dilarang beraksi dalam edisi kelayakan Piala Asia berikutnya.

"Ini berbeza pula dengan situasi Harimau Malaya. Perkara ini dijumpai dalam pertandingan sedang berjalan. Tidak boleh kata Timor Leste dengan FAM sama, situasi tidak sama. Itulah perbezaan antara kedua kes ini atau mana-mana pasukan lain. Kita perlu melihat konteks bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya semasa sidang media di Wisma FAM, di sini, pada Isnin.

Windsor menjelaskan, kes berkenaan kini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC yang sedang menilai semua fakta serta penjelasan dikemukakan oleh FAM.

“Jawatankuasa Disiplin sedang meneliti fakta dan jawapan daripada FAM. Kita kena tunggu proses perundangan ini selesai. Ia tidak boleh dibuat terburu-buru kerana keputusan ini boleh dicabar di peringkat rayuan atau ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya.

AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.

Bagaimanapun, artikel 25 Kod Disiplin AFC hanya menyebut tindakan pembatalan perlawanan yang membawa kepada keputusan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan manakala Artikel 56 berkait tindakan atau denda ke atas pemain dan persatuan.

Must Watch Video