KOTA KINABALU: Kementarian Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah menyediakan 2,000 tiket percuma sempena perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2025/2026 antara Sabah FC Penang FC, di Stadium Likas, Ahad ini.
Menteri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tiket berkenaan akan diagihkan bermula Sabtu ini, sebagai tanda sokongan kepada pasukan Sabah FC.
“Pengagihan tiket itu diuruskan oleh pihak urus setia di pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah manakala maklumat lanjut berkaitan masa dan lokasi akan diumumkan urus setia berkenaan dalam masa terdekat.
“Sebagai sokongan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan, kita telah menyediakan 2,000 tiket percuma kepada peminat bola sepak di Sabah, yang akan diagihkan secara siapa cepat dia dapat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Aidilfitri kementeriannya di sini hari ini.
Nizam berkata sumbangan berkenaan juga adalah usaha kementerian bagi menyemarakkan sokongan kepada Sabah FC selain menjadi suntikan semangat kepada pemain menjelang perlawanan akhir.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan insentif kepada pasukan sekiranya Sabah FC muncul juara Piala Cabaran kali ini.
Sabah FC mencatat keputusan seri 1-1 ketika aksi pertama menentang lawan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lepas, dan aksi timbal balik di laman sendiri Ahad ini, akan menentukan kejuaraan.
-- BERNAMA