WASHINGTON: Lubnan dan Israel telah mengadakan rundingan diplomatik secara langsung buat pertama kali dalam tempoh lebih tiga dekad, satu pertemuan yang jarang berlaku dan bertujuan menamatkan pertempuran antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Tiada keputusan segera dijangkakan daripada perbincangan itu, yang menurut Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, turut merupakan satu “peluang bersejarah” untuk menamatkan pengaruh Hezbollah di rantau tersebut.
Kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik, dan rundingan langsung peringkat tinggi terakhir antara mereka berlangsung pada 1993.
Lebih 2,000 orang telah terbunuh sejak operasi ketenteraan Israel di Lubnan bermula pada 2 Mac, hanya beberapa hari selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bermula.
Pegawai Lubnan berharap rundingan tersebut akan menghasilkan satu gencatan senjata dan pelucutan senjata Hezbollah, serta mengelakkan pendudukan jangka panjang Israel sekali lagi di selatan Lubnan.
Bercakap kepada wartawan sebelum mesyuarat itu, Rubio berkata, pertemuan tersebut adalah “satu proses, bukan satu peristiwa.”
“Ini bukan sekadar satu hari. Ia akan mengambil masa, tetapi kami percaya usaha ini berbaloi,” katanya. “Ia adalah satu pertemuan bersejarah yang kami harap dapat dikembangkan lagi.”
Dalam satu kenyataan, Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata, beliau berharap rundingan itu akan “menjadi permulaan kepada berakhirnya penderitaan rakyat Lubnan secara amnya, dan penduduk di selatan khususnya.”
Hezbollah, sebuah kumpulan pejuang bersenjata lengkap dan canggih yang ditubuhkan pada 1982, mempunyai pengaruh besar di selatan Lubnan yang majoritinya bermazhab Syiah serta di kawasan pinggir selatan ibu negara Beirut.
Ahli politik yang bersekutu dengan kumpulan itu turut memegang dua jawatan peringkat kabinet dalam kerajaan.
Namun, hubungan mereka dengan Kerajaan Pusat Lubnan semakin tegang sejak kumpulan itu memasuki perang antara Israel dan Iran, penaja utamanya.
Dalam kenyataannya, Presiden Aoun menegaskan, “satu-satunya penyelesaian” kepada konflik itu ialah Angkatan Tentera Lubnan “dikerahkan semula hingga ke sempadan yang diiktiraf antarabangsa dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan kawasan tersebut serta keselamatan penduduknya, tanpa perkongsian dengan mana-mana pihak lain.”
Bagaimanapun, keupayaan kerajaan Lubnan untuk berdepan dengan Hezbollah adalah terhad.
Menjelang rundingan itu, seorang anggota kanan organisasi tersebut memberitahu agensi Associated Press bahawa mereka tidak akan mematuhi sebarang persetujuan yang dicapai di Washington.
“Bagi hasil rundingan antara Israel dan musuh Israel itu, kami sama sekali tidak berminat atau mengambil peduli,” kata Wafiq Safa, anggota majlis politik Hezbollah.
“Kami tidak terikat dengan apa yang mereka persetujui,” tambahnya.
Kumpulan itu mendakwa telah melancarkan sekurang-kurangnya 24 serangan ke atas Israel dan tentera Israel di Lubnan pada hari rundingan tersebut, dengan siren amaran dron dan roket berbunyi di banyak kawasan di utara Israel sepanjang hari.
Israel menyatakan bahawa operasinya di Lubnan bertujuan melucutkan senjata dan membubarkan kumpulan itu, yang turut ditentangnya pada 2023 dan 2024 ketika perang di Gaza sedang memuncak.
Dalam rundingan berasingan antara Amerika Syarikat dan Iran yang diadakan di Pakistan, perunding Iran menegaskan bahawa Lubnan mesti dimasukkan dalam sebarang gencatan senjata, namun kedua-dua Amerika Syarikat dan Israel berkata perkara itu tidak akan berlaku.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat memberitahu BBC bahawa rundingan Israel-Lubnan telah dirancang sebulan lalu, sebelum rundingan dengan Iran di Islamabad disahkan.
“Seperti yang telah dijelaskan oleh Presiden, tiada kaitan antara rundingan Amerika Syarikat–Iran di Islamabad dan rundingan Israel–Lubnan,” kata pegawai itu.
“Iran telah menyeret rakyat Lubnan ke dalam peperangan, jadi ia tidak boleh berpura-pura menjadi pelindung Lubnan.”
Selain itu, pegawai tersebut menegaskan bahawa “Iran tidak akan dibenarkan lagi untuk menentukan masa depan Lubnan.”
Selain lebih 2,000 kematian, kira-kira satu juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik ini sejak pertempuran terbaru bermula. - Agensi