Skip to main content

Dunia

Pemain kelima pasukan bolasepak wanita Iran tolak tawaran suaka dan tinggalkan Australia

FILE PHOTO: Australia's Home Affairs Minister Tony Burke poses with Fatemeh Pasandideh, Mona Hamoudi, Atefeh Ramezanizadeh, Zahra Ghanbari and Zahra Sarbali, the five women from the Iranian women’s soccer team who were granted humanitarian visas, in Queensland, Australia, March 9, 2026. @Tony_Burke on X/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY/File Photo
Burke bergambar bersama lima anggota pasukan bolasepak wanita Iran yang diberikan visa kemanusiaan, di Queensland, Australia. - Foto REUTERS

SYDNEY: Seorang lagi pemain pasukan bolasepak wanita Iran yang sebelum ini menerima visa kemanusiaan untuk kekal di Australia telah meninggalkan negara itu, menjadikannya pemain kelima yang menarik diri daripada tawaran suaka tersebut, menurut pejabat Menteri Dalam Negeri Australia, Tony Burke.

Pemain itu berlepas dari Australia lewat malam Ahad, meninggalkan hanya dua daripada tujuh pemain asal yang pada mulanya memilih untuk tinggal di negara itu selepas pasukan dibawa ke Australia bagi kejohanan Piala Asia Wanita.

Menurut Burke, dua pemain lain serta seorang pegawai pasukan telah terlebih dahulu berlepas ke Malaysia pada Sabtu.

Pasukan Iran tiba di Australia bulan lalu untuk kejohanan tersebut, sebelum perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran tercetus pada 28 Februari.

Situasi geopolitik itu mencetuskan kebimbangan keselamatan, mengakibatkan enam pemain dan seorang pegawai pasukan menerima visa kemanusiaan untuk kekal di Australia.

Namun selepas beberapa hari, seorang daripada mereka menarik balik keputusannya, dan kini seorang lagi telah meninggalkan Australia untuk menyertai kumpulan asal yang telah terbang dari Sydney ke Kuala Lumpur pada 10 Mac.

Sementara itu, baki pasukan Iran terus berada di Kuala Lumpur sejak meninggalkan Australia, menurut laporan media tempatan Iran.

Agensi berita Tasnim melaporkan bahawa tiga pemain yang meninggalkan Australia pada Sabtu sedang “kembali ke pangkuan keluarga dan tanah air mereka”.

Burke sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan Australia terus menawarkan peluang perlindungan kepada mana-mana pemain atau pegawai yang merasakan mereka berdepan risiko jika kembali ke Iran.

Kesemua pemain diberi peluang untuk membuat keputusan tanpa tekanan daripada pegawai delegasi Iran ketika berada di lapangan terbang, menurut maklumat kerajaan Australia.

Walaupun lima pemain kini memilih untuk meninggalkan negara itu selepas menerima visa, pihak Australia menegaskan bahawa pintu bantuan tetap dibuka buat mereka yang ingin memohon perlindungan.

 

Must Watch Video