Skip to main content

Malaysia

3R: MCMC keluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok

LOGO MCMC & TIKTOK
MCMC berkata, meskipun makluman dan sesi libat urus telah dijalankan sebelum ini, respons TikTok dalam menangani kandungan berkenaan masih tidak memuaskan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalannya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat kandungan yang menghina Institusi Diraja Malaysia.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas platform berkenaan didapati gagal menurunkan kandungan bersifat jelek melampau, palsu dan berunsur ancaman termasuk melibatkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut MCMC, kandungan terbabit turut melibatkan video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi, dipercayai berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk menyebarkan kandungan jelek melampau, palsu, berunsur ancaman atau yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini berada dalam konteks 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja yang amat sensitif serta berpotensi menjejaskan keharmonian negara dan penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, meskipun makluman dan sesi libat urus telah dijalankan sebelum ini, respons TikTok dalam menangani kandungan berkenaan masih tidak memuaskan.

Katanya, kegagalan itu termasuk tidak mengambil tindakan segera untuk menurunkan kandungan terbabit selain gagal menghalang penyebaran lanjut bahan yang memudaratkan.

“MCMC menghendaki TikTok mengambil langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.

“Platform itu juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia serta garis panduan komuniti platform,” katanya.

Tambah kenyataan itu, TikTok turut diminta mengemukakan penjelasan rasmi berhubung kegagalannya menangani kandungan berkenaan.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan akan terus mengambil tindakan kawal selia dan perundangan terhadap mana-mana penyalahgunaan platform digital yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan sewajarnya bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat, berhemah dan terjamin,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement