KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman, dilapor bercerai talak satu dengan suaminya, Mohd Raizi Abd Razak, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Perceraian itu menamatkan perkahwinan pasangan berkenaan yang dilaporkan dibina selama 15 tahun sejak mendirikan rumah tangga pada 2011.
Sejurus tamat prosiding pengesahan lafaz cerai, Norreen, 32, bersama bekas suaminya dilihat tenang dan memilih untuk merahsiakan hal peribadi mereka serta enggan memberikan kenyataan kepada media.
Sebelum prosiding, Norreen berkongsi luahan ringkas menerusi akaun media sosial miliknya, antaranya berbunyi, “Orang boleh berkata apa sahaja. Jadilah diri sendiri, hargai setiap momen, dan sayangi diri.”
Beliau turut memuat naik hantaran ringkas “Bismillahirrahmanirrahim” seolah-olah memberi gambaran awal mengenai keputusan yang diambilnya.
Di media sosial, berita perpisahan itu mengundang pelbagai reaksi dan kata semangat daripada wargamaya, dengan ramai mendoakan kesejahteraan kedua-dua pihak demi membesarkan dua anak mereka.
Norreen, anak kelahiran Kuala Lumpur, sebelum ini dikenali sebagai pempengaruh media sosial yang berkongsi kandungan komedi sebelum melebarkan kerjaya ke bidang lakonan televisyen dan filem tempatan.
Beliau juga sering menjadi inspirasi wanita tempatan dengan membawa mesej keyakinan diri serta kesamarataan dalam industri hiburan.