PERSEKUTUAN Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Iran memindahkan lokasi kem latihan Piala Dunia dari Amerika Syarikat (AS) ke Mexico susulan konflik di Asia Barat serta kebimbangan keselamatan.
Pasukan Iran sebelum ini memilih sebuah kompleks sukan di Tucson, Arizona sebagai pangkalan utama sepanjang kejohanan berlangsung.
Bagaimanapun, keputusan itu diubah selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran sejak akhir Februari lalu.
Dalam senarai rasmi lokasi kem latihan yang diumumkan FIFA pada Isnin, Iran kini akan berpusat di Centro Xoloitzcuintle di Tijuana.
Tiada perubahan setakat ini terhadap lokasi perlawanan peringkat kumpulan Iran.
Beraksi dalam Kumpulan G, Iran dijadual menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, diikuti pertembungan dengan Belgium pada 21 Jun di lokasi sama, sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Presiden Persatuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj berkata, kedudukan Tijuana yang terletak berhampiran sempadan Amerika Syarikat-Mexico dijangka membantu memudahkan urusan visa apabila pasukan perlu memasuki AS.
Beliau sebelum ini mengumumkan pemindahan kem latihan itu pada Sabtu sebelum disahkan FIFA.
“Semua kem latihan bagi negara yang menyertai Piala Dunia perlu mendapat kelulusan FIFA.
"Selepas permohonan dan beberapa siri perbincangan dengan FIFA serta pegawai Piala Dunia di Istanbul, termasuk mesyuarat secara maya bersama Setiausaha Agung FIFA di Tehran, permintaan kami untuk memindahkan pangkalan pasukan dari Amerika Syarikat ke Mexico telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum memaklumkan, kerajaannya bersetuju membenarkan pasukan bola sepak kebangsaan Iran menetap di Mexico sepanjang kejohanan Piala Dunia, sambil menambah bahawa AS enggan menjadi tuan rumah kepada skuad itu.
Sheinbaum berkata, FIFA telah menghubungi kerajaannya selepas AS menyatakan keengganan untuk membenarkan skuad Iran menetap di negara itu sepanjang kejohanan, walaupun Iran dijadualkan beraksi dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan di sana.
Awal bulan ini, pegawai Iran memaklumkan bahawa pemain dan pegawai pasukan mereka masih belum menerima visa Amerika Syarikat.
Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai. - Agensi