Skip to main content

Dunia

“Kini masa kami” - Saka dakwa Arsenal berjaya tepis dakwaan, ejekan dengan kejuaraan liga

Soccer Football - Premier League - Crystal Palace v Arsenal - Selhurst Park, London, Britain - May 24, 2026 Arsenal's Bukayo Saka celebrates with the trophy after winning the Premier League REUTERS/Hannah Mckay EDITORIAL USE ONLY. NO USE WITH UNAUTHORIZED AUDIO, VIDEO, DATA, FIXTURE LISTS, CLUB/LEAGUE LOGOS OR 'LIVE' SERVICES. ONLINE IN-MATCH USE LIMITED TO 120 IMAGES, NO VIDEO EMULATION. NO USE IN BETTING, GAMES OR SINGLE CLUB/LEAGUE/PLAYER PUBLICATIONS. PLEASE CONTACT YOUR ACCOUNT REPRESENTATIVE FOR FURTH
Bukayo Saka berkata, kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menepis dakwaan dan ejekan terhadap kemampuan pasukan itu, sambil mengimbas perjalanan sukar yang pernah dilalui kelab tersebut sebelum ini. - Gambar Reuters

LONDON: Bintang Arsenal, Bukayo Saka berkata, kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menepis dakwaan dan ejekan terhadap kemampuan pasukan itu, sambil mengimbas perjalanan sukar yang pernah dilalui kelab tersebut sebelum ini.

Pemain sayap England berusia 24 tahun itu mengakui beliau pernah berada dalam “tempat yang gelap” ketika Arsenal bergelut di tangga ke-15 liga pada Disember 2020, dengan hanya meraih empat kemenangan ketika itu.

Ketika itu, Saka meluahkan kekecewaannya menerusi satu hantaran di media sosial berbunyi “You deserve more Arsenal fans”, disertai gambar dirinya yang kelihatan sugul - satu gambaran jelas terhadap situasi kelab yang berada pada tahap rendah.

Namun, enam tahun kemudian, Arsenal akhirnya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk muncul juara liga, sekali gus mengubah persepsi terhadap kelab gergasi London Utara itu.

“Saya berada dalam keadaan gelap ketika itu. Kita semua tahu sejarah kelab ini dan apa yang telah dicapai sebelum ini.

“Pada masa itu, kami berada di tahap yang sangat rendah dan jauh daripada tahap sebenar yang saya percaya sepatutnya bagi Arsenal.

“Sejak di sekolah lagi, di media sosial, saya dengar ejekan dan bagaimana orang memperlekehkan Arsenal.

“Ketika itu saya hanya mahu meluahkannya dalam satu hantaran. Tetapi kini semuanya sudah berlalu. Tiada lagi ejekan - kini masa kami,” katanya kepada Sky Sports.

Mengulas detik mengangkat trofi selepas kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, Saka menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang sukar digambarkan.

“Saya hanya cakap kepada Jurrien Timber, kita sedang berdiri dalam mimpi kita,” katanya.

Mesej tegas Rice jadi titik perubahan

Dalam perkembangan sama, rakan sepasukan, Declan Rice mendedahkan detik penting yang menjadi titik perubahan dalam kempen kejuaraan Arsenal musim ini.

Pemain tengah England itu sebelum ini mencetuskan perhatian apabila melaungkan “ia belum berakhir” kepada rakan sepasukannya selepas kekalahan kepada Manchester City — satu mesej yang kemudian menjadi simbol kebangkitan pasukan.

Kekalahan tersebut membuka ruang kepada City untuk merapatkan jurang, namun Arsenal bangkit dengan memenangi semua baki perlawanan, sekali gus memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

“Saya percaya sepenuhnya, 100 peratus, kerana saya belajar banyak daripada perlawanan itu.

“Tetapi ia juga untuk menenangkan rakan sepasukan dan mengawal keadaan kerana masih ada lima perlawanan lagi.

“Ia bukan perlawanan terakhir musim ini. Selepas itu, kami mula bermain dengan lebih bebas dan tekanan juga sedikit berkurang,” kata Rice.

Menurutnya, walaupun pasukan berdepan tekanan tinggi, mereka berjaya menutup gangguan luar dan fokus kepada baki perlawanan.

“Kami katakan kepada diri sendiri: masih ada lima perlawanan, kita tidak boleh lepaskan peluang ini.

“Ia adalah mesej yang kuat - dan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement