BARCELONA: Impian lama pemain sayap England, Anthony Gordon, untuk menyarung jersi Barcelona akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau diperkenalkan secara rasmi oleh kelab LaLiga itu pada Jumaat.
Barcelona mengesahkan pemain berusia 25 tahun itu menyertai pasukan dari Newcastle United menerusi kontrak lima tahun.
Butiran kewangan tidak didedahkan, namun, media Britain melaporkan Barcelona mengemukakan tawaran awal sebanyak €80 juta (AS$93.14 juta) termasuk tambahan insentif.
Pada sidang media pengenalan, Gordon mengejutkan wartawan apabila fasih menjawab soalan dalam bahasa Sepanyol.
“Saya teruja mahu bermain untuk Barca sejak berusia tiga tahun,” katanya.
“Saya memilih untuk bercakap dalam bahasa Sepanyol kerana sejak kecil saya percaya akan bermain untuk Barca, percaya atau tidak. Saya sering berbual dengan ahli fisioterapi di Newcastle dan beritahu ‘suatu hari nanti saya akan bermain untuk Barca, jadi saya mahu belajar bahasa Sepanyol’,” katanya lagi.
Gordon menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan musim ini bersama Newcastle, termasuk 10 gol dalam 12 perlawanan Liga Juara-Juara.
Menurut Barcelona, pemain itu hadir sebagai penjaring terbanyak Newcastle musim lalu selain menjadi pemain dengan cubaan gelecek paling banyak.
“Gordon juga mempamerkan aksi cemerlang dalam tiga penampilan menentang Barca dalam Liga Juara-Juara musim lalu,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Newcastle berdepan musim sukar apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-12 dan gagal melayakkan diri ke kejohanan Eropah.
Awal bulan ini, pengurus Newcastle, Eddie Howe membayangkan Gordon mungkin telah membuat penampilan terakhirnya bersama kelab itu susulan spekulasi perpindahan ke Bayern Munich.
Namun, Barcelona bertindak pantas mendapatkan tandatangannya, dengan pemain itu turut disenaraikan dalam skuad England ke Piala Dunia.
“Saya sangat teruja untuk bermain bersama Lamine (Yamal) dan pemain lain. Semakin ramai pemain berkualiti di sekeliling anda, semakin baik prestasi anda,” kata Gordon.
“Mereka berada di tahap tertinggi kerana mereka adalah antara pemain terbaik dunia. Saya pernah lihat sendiri kualiti mereka ketika kami bertemu di St James’ Park - kami sukar mengawal permainan.”
Newcastle sebelum ini seri 1-1 dengan Barcelona pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara di laman sendiri musim ini, sebelum tewas 8-3 secara agregat.
Gordon menyertai Newcastle dari Everton pada Januari 2023 dengan nilai perpindahan £45 juta (AS$60.37 juta), dan membuat 152 penampilan dengan 39 gol serta 28 bantuan jaringan, selain membantu kelab itu menamatkan kemarau trofi selama 70 tahun apabila menjuarai Piala Liga musim lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, rakan sepasukan England, Marcus Rashford, menyertai Barcelona secara pinjaman semusim daripada Manchester United dan membantu kelab itu mengekalkan kejuaraan LaLiga.
Rashford mencatat 14 gol dan 14 bantuan jaringan dalam semua kejohanan bersama Barcelona, namun perpindahannya masih belum dimuktamadkan secara tetap.
Dilaporkan, Barcelona memiliki pilihan untuk menandatangani pemain itu dengan nilai €30 juta, yang akan tamat pada 15 Jun.
Gordon kini menyertai senarai pemain England yang beraksi di luar negara, termasuk Harry Kane (Bayern Munich), Jude Bellingham (Real Madrid) dan Ivan Toney (Al-Ahli). - Agensi