Skip to main content

Politik

Zahid sindir Bersatu, ramal hayat tidak panjang

Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah parti serpihan daripada UMNO, Bersatu tidak mampu bertahan lama. - Gambar/ FB Zahid Hamidi

BAGAN DATUK: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi sindirannya yang meramalkan jangka hayat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak panjang, ditambah lagi dengan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya baru-baru ini.

Presiden UMNO itu berkata, sebagai sebuah parti serpihan daripada UMNO, Bersatu tidak mampu bertahan lama.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dan kepada kepimpinan parti berkenaan.

“Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal ehwal parti serpihan daripada UMNO ini dan dari dahulu saya menyatakan bahawa hayat politik parti itu tidak akan panjang.

“Kita akan lihat dalam waktu yang terdekat apakah nasib yang akan menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan di Dewan Armada Utama, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, Bagan Datuk pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa.

“Kita terbuka kerana sebagai parti politik yang menaungi Rumah Bangsa, kita mempunyai dasar yang terbuka.

“Kita berlapang dada dan berfikiran terbuka juga untuk menerima sesiapa sahaja di kalangan orang Melayu, orang Islam yang mahu menyertai Rumah  Bangsa yang telah mula mendapat sambutan luar biasa daripada mereka yang berminat,” ujarnya.

Pada Jumaat, Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.

Antara yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain turut digantung.

Pada masa sama, tiga Ahli Parlimen menerima notis amaran pelanggaran disiplin parti iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).

 

 

Must Watch Video