Skip to main content

Politik

UMNO lebih kuat, kurang dikritik berbanding PKR dan Bersatu- Khairy

Waffiy Norazmi/Astro AWANI
Khairy selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di WTCKL, hari ini. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: UMNO dilihat berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding PKR dan Bersatu yang ketika ini berdepan perpecahan dalaman yang ketara, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy turut menegaskan, parti itu jauh lebih kuat dengan mengambil contoh perseteruan dalam parti lain, antaranya melibatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Datuk Seri Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua parti itu sedang berdepan perpecahan yang serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Tambahnya, kritikan orang ramai terhadap kerajaan dan para menteri juga ditujukan kepada menteri-menteri bukan UMNO.

Selaku bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy berpendapat kritikan orang ramai terhadap kerajaan dan para menteri juga ditujukan kepada menteri-menteri bukan UMNO.

Menurutnya, para menteri daripada UMNO telah melaksanakan tugas dengan baik dan tidak terpalit dengan skandal besar atau menunjukkan prestasi yang lemah.

Khairy turut senada dengan pandangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menyifatkan prestasi pentadbiran negeri-negeri di bawah teraju UMNO lebih memberangsangkan berbanding negeri lain.

Tambahnya, naratif yang ditunjukkan baik di peringkat pusat atau negeri mampu menarik minat rakyat terhadap UMNO.

“Ini adalah contoh yang meyakinkan dari segi pengalaman, keupayaan mengekalkan kekuatan dalaman, serta kepimpinan negeri yang berprestasi baik,” katanya.

Must Watch Video