Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Penahanan delegasi Global Sumud Flotilla di Kepulauan Crete: Pelanggaran undang-undang antarabangsa

CCTV footage shows crew members of the second flotilla that sailed from the Spanish port of Barcelona, at a location given as at sea off the coast of Greece, Apr 30, 2026. (Photo: REUTERS/Global Sumud Flotilla)
Insiden Global Sumud Flotilla ini menimbulkan persoalan serius berkaitan pematuhan terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa. - Gambar fail/Reuters

INSIDEN yang melibatkan delegasi Global Sumud Flotilla di perairan berhampiran Kepulauan Crete, Greece terus menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Flotila tersebut, yang belayar untuk tujuan kemanusiaan, dipintas ketika berada di laut lepas sebelum delegasinya ditahan oleh rejim Israel. Apa yang membimbangkan, insiden ini turut melibatkan 10 rakyat Malaysia, termasuk aktivis kemanusian Zainal Rashid Ahmad, sekali gus menjadikannya isu yang dekat dengan kepentingan nasional.

Secara geografi, jarak antara Crete dan Israel dianggarkan sekitar 800 hingga 1,000 kilometer merentasi Laut Mediterranean, bergantung kepada lokasi tepat di kedua-dua kawasan. Jarak yang jauh ini menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa dan justifikasi tindakan pemintasan terhadap kapal yang berada di perairan antarabangsa.

Global Sumud Flotilla terdiri daripada aktivis kemanusiaan antarabangsa yang menjalankan misi aman bagi menyampaikan bantuan serta meningkatkan kesedaran terhadap situasi kemanusiaan di kawasan konflik di Palestin. Kapal-kapal tersebut tidak bersenjata dan berada di perairan antarabangsa ketika kejadian berlaku.

Namun, perjalanan mereka terganggu apabila komunikasi dilaporkan disabotaj melalui gangguan radio, diikuti dengan kehadiran dron dan kapal tentera yang mengarahkan mereka menghentikan pelayaran. Delegasi kemudiannya ditahan secara paksa dalam satu operasi yang kini dipersoalkan dari sudut undang-undang antarabangsa.

Perkembangan terkini menunjukkan bahawa sebahagian daripada delegasi telah dibawa ke Turki dan berada dalam keadaan selamat. Walau bagaimanapun, dua individu iaitu  aktivis Thiago Avila dan Saif Abukeshek dilaporkan telah dipisahkan daripada kumpulan utama dan dibawa ke Israel. Setakat ini, lokasi sebenar serta keadaan mereka masih belum diketahui, menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan dan hak mereka sebagai individu yang ditahan.

Insiden ini telah mencetuskan pelanggaran terhadap beberapa prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Pertama, tindakan penahanan tersebut boleh ditafsirkan sebagai penahanan sewenang-wenangnya yang bertentangan dengan International Covenant on Civil and Political Rights, khususnya Perkara 9, yang melarang penangkapan atau penahanan tanpa asas undang-undang yang sah serta menjamin hak kepada proses sewajarnya (due process).

Kedua, pemintasan kapal di laut lepas berkemungkinan merupakan pelanggaran terhadap kebebasan pelayaran sebagaimana diperuntukkan di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea, khususnya Perkara 87. Flotila tersebut beroperasi secara aman di perairan antarabangsa, dan tindakan seperti gangguan radio, penggunaan dron serta penguatkuasaan ketenteraan boleh ditafsirkan sebagai campur tangan tidak sah terhadap hak kebebasan navigasi.

Ketiga, kegagalan untuk memaklumkan lokasi tahanan serta memberikan akses kepada wakil diplomatik berpotensi melanggar Vienna Convention on Consular Relations, khususnya Perkara 36, yang menjamin hak individu yang ditahan untuk berhubung dengan pihak konsular negara masing-masing tanpa kelewatan.

Secara keseluruhannya, insiden Global Sumud Flotilla ini menimbulkan persoalan serius berkaitan pematuhan terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa, termasuk perlindungan kebebasan individu, kebebasan navigasi dan hak akses konsular. Selagi keberadaan serta status undang-undang individu yang ditahan khususnya Thiago Avila dan Saif Abukeshek tidak diperjelaskan, isu ini dijangka terus menjadi perhatian serta menuntut ketelusan dan akauntabiliti di peringkat antarabangsa.


* Dir Kheizwan Kamaruddin adalah peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya beramal di Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners dan merupakan aktivis hak asasi di Pusat Penyelidikan Dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video