JOHOR BAHRU: UMNO Johor menerima baik cadangan yang dikemukakan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertimbangkan semula kemasukan ahli yang sebelum ini digantung atau dipecat daripada parti menerusi Rumah Bangsa.
Pengerusi UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya di peringkat negeri terbuka terhadap mana-mana individu, khususnya dari Johor yang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO.
“Kepada mereka dari Johor yang telah membuat kenyataan untuk kembali kepada UMNO, di peringkat UMNO Johor kami terima dengan baik, namun keputusan muktamad akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi parti. Itu melalui Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Onn Hafiz ketika mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya berkata pelbagai perkara sedang diambil kira namun tumpuan utama ketika ini adalah usaha membantu rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran.
“Pada masa ini, kami sedar rakyat sedang berdepan kesukaran dan terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan. Jadi, tiada ketetapan bila ia perlu diadakan dan sebagainya,” katanya.
Pada Khamis lepas, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi hantaran video berdurasi 2.42 minit di Facebooknya menyatakan kesediaan untuk kembali aktif berjuang dalam parti itu sekiranya penggantungan keahlian beliau ditarik balik oleh pucuk pimpinan.
Ahli Parlimen Sembrong itu menyifatkan kenyataan Presiden UMNO yang membuka ruang untuk menerima semula ahli digantung, dipecat atau meninggalkan parti tanpa syarat sebagai satu penghargaan yang amat bermakna.
-- BERNAMA