KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana bahagian Bersatu yang dibubarkan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu sejak kebelakangan ini, tegas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas beliau, mengikut perlembagaan parti, hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian.
"Tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan. Ini perlu kita jelaskan kerana dalam beberapa minggu yang lepas, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, (ada dakwaan) kononnya ada beberapa bahagian yang isytihar bubar.
"Sebenarnya mengikut perlembagaan (parti), tidak ada pihak kecuali MPT Bersatu sahaja yang mempunyai kuasa untuk membubarkan (bahagian), bermakna tidak ada pembubaran berlaku. Tetapi ada pemberhentian atau peletakan jawatan," kata Muhyiddin dalam satu sidang media selepas Mesyuarat MPT Bersatu dan Majlis Iftar Bersatu Malaysia di ibu negara hari ini.
Menurutnya, apabila itu berlaku, parti akan menggunakan kuasa petugas khas untuk melakukan penyusunan semula kepimpinan di bahagian yang terlibat.
"Dan saya sukacitanya nak maklumkan sebenarnya bahagian itu tidaklah sebesar mana yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu. Maknanya, majoriti tidak terjejas," jelas Muhyiddin.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebagai Pemangku Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Datuk Seri R Sanjivan sebagai Pemangku Ketua Sayap Bersekutu parti itu berkuat kuasa serta-merta yang diputuskan secara sebulat suara oleh MPT.
Pelantikan pemangku kepimpinan itu dibuat susulan kekosongan jawatan selepas bekas Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan bekas Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Dr Dr Chong Fat Full sebelum ini tidak lagi memegang jawatan berkenaan.