Skip to main content

Politik

Rafizi, Nik Nazmi umum hala tuju politik baharu Ahad ini

Rafizi, Nik Nazmi. Kredit: FB RAFIZI RAMLI
Rafizi (kiri) berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada mereka untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya - Foto/FB Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini.

Rafizi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada mereka untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya.

"Pengumuman berkenaan akan dibuat dalam satu majlis di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), S611, Bandar Utama, Petaling Jaya, bermula jam 2 petang hingga 5 petang," katanya.

Jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu, majlis tersebut terbuka kepada orang ramai, pengamal media dan pencipta kandungan untuk membuat siaran langsung sepanjang acara berlangsung.

Beliau turut menjemput rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang ingin menyuburkan aliran politik progresif untuk hadir ke majlis berkenaan.

Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai tahun lalu selepas mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.


 

Must Watch Video