KUALA LUMPUR: Selangor FC mengesahkan tempat ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 selepas menewaskan wakil Vietnam, Nam Dinh FC 2-0 dengan agregat 4-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong malam tadi.
Skuad kendalian jurulatih Kim Pan Gon itu membuka tirai jaringan menerusi Chrigor Moraes yang memanfaatkan sepakan penalti diberikan pengadil pada minit ke-38.
Ia selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membuktikan Mitchell Dijks mengasari Mohammad Abualnadi ketika sepakan sudut.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah berhasil meledak jaringan menerusi Lam Ti Phong pada minit ke-51, namun jaringan dibatalkan susulan VAR menyaksikan Percy Tau berada di kedudukan offsaid.
Situasi itu nyata memberi tonik tambahan kepada Selangor apabila Moraes mencipta jaringan keduanya pada minit ke-90, sekali gus memberi kemenangan buat Selangor dengan agregat 4-1.
Minggu lepas, Selangor turut menewaskan Namn Dinh 2-1 pada aksi pertama separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Menanti Selangor di final juara bertahan Buriram United yang menewaskan JDT 4-3 secara agregat selepas keputusan perlawanan separuh akhir kedua menyaksikan pasukan tuan rumah tewas 1-2, namun diselamatkan agregat aksi separuh akhir pertama 3-1.
Aksi final pertama akan berlangsung pada 20 Mei sementara final kedua pula pada 27 Mei.
Perlawanan antara JDT dan Buriram sebentar tadi di Stadium Chang Arena, Thailand menyaksikan JDT bermula garang dengan asakan ke kubu lawan sebelum menerima sepakan penalti yang dimanfaatkan Bergson Da Silva pada minit kecederaan apabila VAR mengesahkan pelanggaran berlaku antara Marcos Guilherme dan penjaga gol Buriram, Neil Etheridge.
Skuad JDT berhasil menyamakan kedudukan agregat 3-3 apabila Guilherme membolosi gawang Buriram pada minit ke-62, sebelum pasukan tuan rumah menjarakkan semula kedudukan pada masa tambahan menerusi Kingsley Schindler yang merembat bola dari jauh selepas menerima hantaran Goran Causic.
Buriram terus dihukum dengan 10 pemain apabila Bissoli dilayangkan kad merah selepas tertendang dada Syamer Kutty pada masa tambahan sebelum terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah Causic pula dikenakan kad merah, namun kemenangan tetap menyebelahi tuan rumah apabila tiada jaringan tambahan hingga ke wisel penamat.
-- BERNAMA