KUALA LUMPUR: Tiada sebarang isyarat daripada Perdana Menteri berhubung kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan dalam masa terdekat, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini kekal kepada usaha menangani pelbagai isu rakyat termasuk membantu golongan peniaga kecil serta kumpulan yang memerlukan sokongan.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) belum memberikan sebarang petunjuk atau ‘signal’ mengenai penganjuran PRU16 pada tahun ini, sebaliknya menekankan kepentingan menyelesaikan masalah rakyat secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 yang berlangsung di Dewan Merbau, IWK Ecopark, pada Khamis.
Fahmi bagaimanapun berkata, pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, walaupun tiada tarikh tetap bagi pilihan raya dalam masa terdekat, jentera parti perlu diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
Beliau tidak menolak kemungkinan PRN Johor boleh diadakan pada bila-bila masa, meskipun ketika ini ia masih belum menjadi ketetapan rasmi.
"Kita semua maklum mengenai Johor berkemungkinan akan adakan pilihan raya. Walaupun bukan dalam waktu terdekat tetapi tak mustahil dalam tempoh yang tidak terlalu lama," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa Konvensyen PH peringkat kebangsaan akan berlangsung di Johor pada 17 Mei ini, melibatkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.
Menurutnya, konvensyen berkenaan akan menjadi platform penting untuk pimpinan PH memperincikan hala tuju serta strategi gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang.
Persidangan tersebut juga diharap dapat memperkukuh penyelarasan antara parti komponen dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau menegaskan bahawa kesiapsiagaan jentera merupakan aspek penting dalam memastikan kekuatan parti sentiasa berada pada tahap optimum.
Tambahnya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Konvensyen tersebut dijangka menjadi medan perbincangan penting dalam merangka pendekatan baharu PH bagi menghadapi landskap politik negara yang semakin mencabar.