PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan tunduk kepada budaya politik lama dikuasai 'dinosaur politik', sebaliknya terus bertekad membawa perubahan melalui pendekatan politik baharu yang lebih berani dan berpaksikan suara rakyat.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, generasi muda perlu berani mencabar dominasi politik lama yang dilihat masih cuba menentukan hala tuju politik negara.
Menurutnya, kehadiran parti seperti Muda membuktikan anak muda bersedia membawa perubahan dan tidak lagi mahu terikat dengan corak politik tradisional.
"Kita takkan biarkan dinosaur-dinosaur politik kata kita tak boleh buat. Kalau mereka kata kita pengecut, kita lawan depan muka dia.
"Jikalau mereka kata kita lemah, kita berdiri depan Parlimen berjam-jam untuk minta mereka (pinda) undang-undang menindas rakyat," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan Parti Muda 2025 dan Pemilihan Parti Muda 2026/2029 di Bangunan Peladang, di sini, pada Sabtu.
Amira Aisya menambah, walaupun parti itu sering dilabel sebagai parti kecil dan dipandang rendah, Muda telah membuktikan kemampuan untuk terus bertahan serta berkembang sebagai sebuah parti nasional.
"Ramai yang kata Muda ini parti nyamuk. Muda (ini) parti budak-budak. Tetapi tidak kira bila orang kata kita parti nyamuk, kita buktikan bahawa Muda mampu jadi parti nasional," ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa parti itu tidak pernah bergantung kepada kekuatan parti lain untuk bertanding dalam pilihan raya.
"Orang kata Muda mesti menumpang bendera parti-parti besar. Kita (buktikan) Muda masuk pilihan raya tidak pernah guna bendera parti orang lain," menurut Amira Aisya lagi.
Tambah beliau, kritikan dan serangan terhadap anak muda dalam politik tidak akan melemahkan semangat mereka untuk memperjuangkan perubahan.
Menurutnya lagi, perjuangan Muda bukan sekadar tertumpu kepada wacana elit atau perbincangan dalam ruang tertutup semata-mata.
"Muda bukan sekadar di ruang-ruang air cond tetapi kita juga tidak takut berpanas di jalanan untuk bawa suara rakyat," tegas beliau.
Beliau memberitahu, bahawa parti itu juga sentiasa turun padang bagi memperjuangkan nasib golongan yang terpinggir.
Jelasnya, Muda tidak pernah berundur daripada perjuangan reformasi institusi yang menjadi teras perjuangan parti itu. - Sinar Harian