Skip to main content

Politik

Mesyuarat Tertinggi PN: "Beberapa pelantikan akan dibuat" - Ahmad Samsuri

Ahmad Sanusi, Mesyuarat Tertinggi PN. Kredit: Astro AWANI
Ahmad Samsuri tiba di Ibu Pejabat Gerakan di Cheras, Kuala Lumpur, pada Sabtu bagi menghadiri Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) dilihat tiba, di sini, bagi menghadiri Mesyuarat Tertinggi gabungan itu yang dijadual berlangsung pada jam 11 pagi ini.

Antara yang hadir ialah Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut kelihatan hadir ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Radzi Jidin serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan beberapa agenda penting yang melibatkan gabungan parti itu.

Ahmad Samsuri ketika ditanya mengenai jangkaan pada mesyuarat tertinggi PN hari ini berkata beberapa pelantikan akan dibuat, termasuk tidak menolak kemungkinan membabitkan kedudukan Ketua Pembangkang.

“Biasalah, pelantikan-pelantikan akan dibuat. (Ini termasuk jawatan Ketua Pembangkang?) Tunggu makluman,” katanya ringkas.

Kedudukan Ketua Pembangkang juga menjadi tumpuan susulan pemecatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Setakat ini, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu masih menyandang jawatan Ketua Pembangkang.

Pada 22 Februari lalu, Takiyuddin berkata, parti komponen PN mencadangkan Pas mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang kerana parti Islam itu memiliki bilangan kerusi Parlimen terbanyak.

Semalam, media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersedia memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sekiranya diberi mandat oleh ahli Parlimen pembangkang.

Selain kedudukan Ketua Pembangkang, antara jawatan lain yang dijangka diisi ialah Setiausaha Agung PN.
 

Must Watch Video