DALAM keadaan ekonomi dunia masih dibayangi ketidaktentuan geopolitik, konflik di Asia Barat, perang perdagangan serta tekanan kos sara hidup global, rakyat sebenarnya sedang menilai satu perkara paling asas dalam politik negara hari ini iaitu siapa yang benar-benar mampu mengekalkan kestabilan dan mengurus negara secara berkesan.
Dalam konteks itu, langkah politik Datuk Seri Rafizi Ramli yang diumumkan di Petaling Jaya Ahad lalu bersama Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi pengambilalihan Malaysian United Party (MUP) sememangnya menarik perhatian sesetengah pemerhati politik sebagai perkembangan baharu pasca PRU15.
Bagi penyokongnya, langkah tersebut dilihat sebagai cubaan membentuk alternatif politik baharu di luar kerangka parti-parti sedia ada.
Namun apabila dianalisis secara lebih mendalam, pengumuman tersebut lebih menyerlahkan unsur penyusunan semula pengaruh politik dan percaturan masa depan berbanding pengemukaan agenda pentadbiran yang benar-benar menawarkan penyelesaian lebih baik terhadap cabaran semasa negara.
Hakikatnya, dalam suasana rakyat berhadapan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi antarabangsa dan kebimbangan terhadap masa depan ekonomi global, kecenderungan umum masyarakat hari ini lebih tertumpu kepada soal kestabilan, peluang pekerjaan, keyakinan pelabur dan kemampuan kerajaan mentadbir negara secara berkesan.
Di sinilah wujud perbezaan pendekatan yang semakin jelas antara Rafizi dengan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika Rafizi dilihat memberi tumpuan kepada pembentukan platform politik baharu, kerajaan MADANI pula sedang menumpukan usaha memperkukuh ekonomi, memperbaiki kedudukan fiskal negara dan memastikan keyakinan pelabur terus kekal dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar.
Berdasarkan data rasmi kerajaan dan beberapa indikator antarabangsa, ekonomi Malaysia menunjukkan perkembangan yang semakin stabil sejak dua tahun kebelakangan ini.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024, diikuti 5.2 peratus pada 2025 dan 5.4 peratus bagi suku pertama 2026, mengatasi unjuran awal sebanyak 4.8 peratus.
Pelaburan diluluskan pula meningkat secara konsisten daripada RM264.6 bilion pada 2022 kepada RM426.7 bilion pada 2025, manakala Malaysia turut mencatat lebihan dagangan selama 71 bulan berturut-turut.
Pengukuhan nilai ringgit sehingga sekitar RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat serta peningkatan kedudukan daya saing dunia International Institute for Management Development (IMD) ke tangga ke-23 turut memberi gambaran bahawa keyakinan terhadap ekonomi Malaysia semakin pulih.
Kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus, terendah sejak 2015, turut memperlihatkan bahawa pemulihan ekonomi bukan sekadar bersifat statistik, tetapi mula diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi sebenar.
Lebih penting, pelbagai manfaat ekonomi mula dirasai rakyat melalui peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, kenaikan bantuan tunai rakyat sehingga RM4,600, peningkatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kenaikan harga lantai padi serta pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar.
Kerajaan juga meneruskan pelaksanaan projek pembangunan strategik seperti Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Lebuh Raya Pan Borneo, projek tebatan banjir, pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai projek infrastruktur lain yang mempunyai kesan limpahan ekonomi jangka panjang kepada rakyat dan negara.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi global pula, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej jaminan dan pembiayaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana termasuk jaminan pinjaman, kemudahan kredit mikro dan insentif kewangan bersasar.
Fokus utama pentadbiran ketika ini jelas tertumpu kepada usaha memastikan ekonomi negara kekal stabil dan rakyat tidak terlalu terbeban dengan ketidaktentuan global.
Dalam konteks ini, persoalan utama yang mula timbul ialah sama ada platform politik baharu yang cuba diketengahkan Rafizi benar-benar menawarkan kestabilan serta keupayaan pentadbiran yang lebih baik berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Sepanjang menerajui portfolio ekonomi sebelum ini, Rafizi lebih menonjol dari sudut penghasilan naratif reformasi dan pendekatan teknokratik berbanding rekod pelaksanaan yang benar-benar memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau sememangnya dikenali sebagai tokoh politik yang mempunyai kemampuan komunikasi yang baik serta mahir menghuraikan data, formula dan simulasi ekonomi secara terperinci.
Namun dalam politik pentadbiran moden, legitimasi kepimpinan akhirnya tidak hanya diukur melalui kekuatan retorik atau kecanggihan formula dasar semata-mata.
Rakyat akhirnya menilai keupayaan sebenar sesebuah kepimpinan untuk melaksanakan dasar, mengurus krisis, mengekalkan keyakinan pelabur dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sebahagian reformasi ekonomi yang diketengahkan sebelum ini juga berdepan cabaran penerimaan awam kerana kerumitannya dari sudut pelaksanaan dan komunikasi dasar, khususnya melibatkan isu subsidi bersasar serta integrasi pangkalan data ekonomi rakyat.
Dalam beberapa keadaan, rakyat melihat pelbagai cadangan yang diumumkan masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada hasil yang benar-benar jelas di peringkat pelaksanaan.
Keadaan ini menyebabkan Rafizi lebih dikenali sebagai tokoh strategi politik dan naratif reformasi berbanding pemimpin pelaksana yang mempunyai rekod pentadbiran besar di lapangan.
Pasca beberapa siri ketidaktentuan politik sejak 2018, sebahagian besar rakyat juga dilihat semakin pragmatik dalam membuat penilaian politik.
Sentimen umum hari ini tidak lagi terlalu tertumpu kepada slogan perubahan semata-mata, tetapi lebih kepada kemampuan sesebuah kerajaan memastikan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup dapat diurus secara berkesan.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu akibat konflik geopolitik dan tekanan rantaian bekalan global, majoriti rakyat lebih mengutamakan kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran berbanding eksperimen politik baharu yang belum terbukti keberkesanannya.
Atas sebab itu, langkah Rafizi membuka platform politik baharu ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek strategik, pengukuhan fiskal negara dan pemulihan keyakinan pelabur dilihat sukar meyakinkan rakyat bahawa gerakan tersebut benar-benar mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada negara.
Politik boleh membina persepsi, tetapi pentadbiran yang berkesan akhirnya menjadi penentu utama keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.
Dr Mazlan Che Soh merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Seremban.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.