Skip to main content

Malaysia

Sultan Sharafuddin saran Siew Ki, Ronnie Liu kunjungi Dataran Selangor seminggu sekali, hayati Rukun Negara

Sultan Sharafuddin
Sultan Selangor bertitah mereka disaran hadir seminggu sekali untuk mengimbas kembali sejarah lahirnya konsep Rukun Negara, apabila segalanya bermula ketika darurat diisytihar akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. -Foto Facebook Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, khususnya ADUN Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco negeri Ronnie Liu, supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor untuk menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda bertitah, mereka disaran hadir seminggu sekali bagi mengimbas kembali sejarah pembentukan Rukun Negara yang tercetus susulan darurat selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, baginda menyebut nama kedua-dua individu itu secara khusus agar menghayati kepentingan Rukun Negara, termasuk menghormati institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen ini.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew. 

"Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook Selangor Royal Office.

Titah itu susulan keberangkatan baginda ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri plak monumen yang ditempatkan di hadapan tiang bendera negeri.

Sultan Sharafuddin bertitah, monumen tersebut dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya Selangor, lengkap dengan kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh baginda.

“Dengan terbinanya plak monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara. Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

"Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berharap orang ramai, khususnya generasi muda, mengambil peluang mengunjungi Dataran Selangor untuk membaca dan menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara.

 

Must Watch Video