Skip to main content

Malaysia

PM Anwar minta agensi pembiayaan mikro kerap turun padang bantu peniaga kecil

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti produk jualan tempatan ketika meninjau peniaga kecil di lapangan di Pasar Tani Taman Melawati hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti produk jualan tempatan ketika meninjau peniaga kecil di lapangan di Pasar Tani Taman Melawati hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Agensi pembiayaan mikro diminta mempergiatkan usaha turun padang bagi mendekati peniaga kecil, penjaja serta usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang berdepan kekangan modal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan turun padang itu penting agar rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, dapat menerima penerangan terus mengenai kemudahan pinjaman yang disediakan kerajaan.

“Kita bincang dengan agensi berkaitan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank untuk turun padang, jangan minta mereka datang ke pejabat.

“Turun dan beritahu manfaatnya. Saya lihat ratusan syarikat kecil memulakan perniagaan, tetapi kadang-kadang mereka hanya perlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati, di sini, serta sesi ramah mesra bersama penjaja di kawasan itu, hari ini.

Menurut Anwar, kadar bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah juga sangat baik, sekali gus membuktikan disiplin kewangan mereka berada pada tahap yang baik.

“Kalau AIM, wanita hampir 100 peratus bayar balik. Lelaki pula sekitar 95 peratus, maksudnya mereka bayar balik,” katanya.

Mengulas keluhan penjaja dan peniaga kecil, Perdana Menteri berkata, kebanyakan mereka tidak banyak merungut sebaliknya amat menghargai bantuan yang diterima.

Jelas Menteri Kewangan itu, keluhan berkaitan isu pinjaman dan bantuan perniagaan lebih banyak datang daripada kumpulan tertentu termasuk perusahaan besar serta pihak tertentu.

“Keluhan mereka sangat minimum, yang besar-besar sahaja banyak mengeluh… dan yang mengeluh paling kuat ialah orang-orang politik yang sudah tergelincir,” ujar beliau.

Mengenai pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 dengan had 200 liter sebulan pula, Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana fokus ketika ini adalah memperkukuh program kredit mikro untuk penjaja dan peniaga kecil.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun 2026 yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.

Kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun.

Must Watch Video

Advertisement