HAMILTON: SpaceX pada Jumaat melancarkan roket Starship paling berkuasa setakat ini, menandakan satu lagi ujian utama dalam usaha syarikat itu membangunkan kapal angkasa bagi misi masa depan ke bulan dan Marikh, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Roket gergasi itu berlepas dari kemudahan Starbase milik SpaceX di Texas, Amerika Syarikat membawa sejumlah satelit Starlink simulasi sebagai sebahagian daripada misi ujian bersepadu ke-12.
Pelancaran itu dilakukan tidak lama selepas pengasas SpaceX, Elon Musk mengumumkan rancangan untuk menyenaraikan syarikat itu di pasaran saham.
Menurut kemas kini SpaceX di platform dalam talian, Starship yang dinaik taraf itu berjaya melakukan manuver pusingan terkawal sebelum mendarat di sasaran di Lautan Hindi berhampiran pelampung yang ditandakan dengan logo Starlink.
SpaceX menjalankan beberapa siri penerbangan ujian Starship dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai usaha ke arah matlamat jangka panjang Musk untuk membina penempatan manusia di Marikh.
Syarikat itu juga memperluas ujian keupayaan pendaratan dan pemulihan kapal angkasa berkenaan menjelang misi dengan kru pada masa depan.
-- BERNAMA-ANADOLU