Skip to main content

Politik

Kemelut DUN: UMNO-BN gesa Sidang Khas DUN Negeri Sembilan - Jalaluddin

61617255686_JalaluddinAlias.jpg
Jalaludin berpendapat sekiranya sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu. - Gambar fail

SEREMBAN: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu diadakan segera bagi menangani krisis politik yang sedang berlaku di negeri berkenaan.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias berpendapat sekiranya sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan, ia dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.

“Jika mereka bertahan sehingga enam bulan, kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul.

“Sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Selasa.

Tambahnya, sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam masa terdekat, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri serta memberi kesan kepada kelancaran urusan dasar kerajaan.

Justeru ujarnya, Yang Dipertua DUN perlu mengambil tindakan segera mengadakan sidang DUN khas bagi membincangkan serta memutuskan langkah penyelesaian terhadap krisis politik yang sedang berlaku.

"Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa serta memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.

“Pada pandangan saya, Sidang Khas Dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua,” katanya. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video