MEKAH: Malaysia sekali lagi terpilih sebagai antara negara terawal di dunia yang berjaya menyiapkan pengagihan Kad Nusuk sepenuhnya kepada jemaah haji di dalam negara, sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.
Pencapaian itu merupakan kesinambungan kepada projek rintis tahun lepas, ketika Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama di dunia yang dipilih untuk mengedarkan Kad Nusuk kepada para jemaah sebelum mereka berangkat ke Arab Saudi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama tiga penjuru antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH, dan Holiday Inn Bakkah, sebuah syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
"Alhamdulillah, Malaysia dipilih menjadi antara negara terawal untuk inisiatif ini, yang merupakan kesinambungan kejayaan projek rintis pada musim haji tahun lepas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara dalam usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji Malaysia.
"Selari dengan matlamat TH untuk memudahkan urusan perjalanan teragung jemaah haji, inisiatif ini membolehkan persiapan haji yang teratur, mengelakkan kesesakan semasa ketibaan di Arab Saudi, dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia," tambahnya.
Kad Nusuk berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji dan mengandungi maklumat komprehensif berkenaan data penting setiap jemaah.
Selain itu, kad tersebut juga bertindak sebagai permit kebenaran yang membolehkan jemaah memasuki kawasan-kawasan utama ibadah haji, termasuk Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mustakim turut mengingatkan semua jemaah supaya menjaga kad pengenalan diri dan Kad Nusuk yang dibekalkan dengan sebaiknya.
Ini berikutan kawalan keselamatan yang dijangka diperketatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, terutamanya di laluan masuk ke kawasan-kawasan menunaikan ibadah haji.