KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa terdapat jumlah transaksi yang besar dan kerap berjumlah RM19.5 juta dimasukkan ke dalam akaun parti politik Bersatu antara 2021 hingga penghujung 2022.
Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam, Norazeanti Miswan, 39, berkata kemasukan keseluruhan wang itu melalui 29 transaksi menerusi cek dari akaun Bank Muamalat milik syarikat Mamfor Sdn Bhd untuk dimasukkan kepada Bersatu antara 12 Mei 2021 hingga 16 Nov 2022.
"Terdapat keraguan dalam setiap transaksi dilakukan oleh syarikat Mamfor dan ia berlaku secara berterusan kepada penerima sama (Bersatu) pada 2021 hingga penghujung 2022," katanya pada perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengenai perbezaan syarikat Mamfor dengan syarikat lain, Norazeanti menjawab: "kebiasaannya syarikat lain akan membuat pembayaran selari dengan jenis perniagaan syarikat tersebut".
Wan Shaharuddin: Maksudnya apa? dan Norazeanti menjawab "Saya tidak jumpa syarikat lain bayar kepada parti politik lain".
Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Norazeanti berkata perkataan donation (sumbangan) digunakan dalam alasan pengeluaran cek jurubank dan tiada penggunaan perkataan sumbangan politik atau sebagainya.
Wan Shaharuddin: Sumbangan sahaja kepada? dan saksi itu menjawab kepada parti Bersatu.
Norazeanti juga mengetahui bahawa Bersatu, UMNO, DAP dan Pas adalah parti politik, namun syarikat Mamfor tidak memberikan sumbangan kepada parti-parti itu selain Bersatu.
Kepada soalan Wan Shaharuddin apa dimaksudkan kerap serta besar dan saksi itu menjawab "Besar dan kerap itu kerana jumlah pengeluaran cek jurubank yang diberikan berjumlah RM500,000 sehingga RM2 juta dan kekerapan itu berlaku pada 2021 sehingga penghujung 2022,"
Norazeanti berkata Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) dibuat oleh pihak bank dan ia dihantar kepada Ibu Pejabat Bank Muamalat untuk penilaian selanjutnya.
Wan Shaharuddin: Sepanjang Puan menjadi pegawai bank, adakah transaksi-transaksi ini satu transaksi yang biasa dibuat oleh sebuah syarikat? Norazeanti menjawab: “Tidak, kerana saya tidak melihat transaksi sebegini dilakukan oleh syarikat lain”.
Ditanya Wan Shaharuddin mengenai status akaun bank Mamfor sekarang, Norazeanti berkata akaun Mamfor ditutup pada 26 Feb 2025 kerana pihak bank menghantar notis penutupan akaun kepada pelanggan, dan syarikat itu sendiri membuat penutupan tersebut.
Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi kesalahan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA