Skip to main content

Dunia

Kos import tenaga EU naik €27 bilion kerana konflik Asia Barat

51673955435_UrsulavonderLeyen.jpg
Ursula von der Leyen berkata di negara EU yang mempunyai bekalan besar tenaga boleh diperbaharui dan kuasa nuklear dalam campuran elektrik, kenaikan harga gas tidak dirasai pengguna. - Gambar fail

BRUSSELS: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen memberi amaran berhubung peningkatan kos tenaga untuk Kesatuan Eropah (EU) yang disebabkan oleh konflik di Asia Barat dan menggesa negara anggota mengambil pengajaran daripada krisis tenaga yang lepas, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

"Dalam hanya 60 hari konflik, bil untuk import bahan api fosil telah meningkat lebih €27 bilion (AS$31.6 bilion), tanpa satu molekul tenaga tambahan," von der Leyen memberitahu ahli parlimen EU pada Rabu di bandar Strasbourg, Perancis.

"Kita mesti mengurangkan terlalu bergantung pada bahan api fosil yang diimport dan meningkatkan bekalan tenaga tempatan, mampu milik, bersih - daripada boleh diperbaharui kepada nuklear - sambil menghormati sepenuhnya neutraliti teknologi," katanya.

Selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, Iran bertindak balas dengan menyekat Selat Hormuz secara berkesan, mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang tidak mendapat kebenarannya untuk transit di laluan air itu. 

Sekatan itu menyebabkan gangguan besar terhadap perdagangan global, mengakibatkan harga tenaga melonjak dan mencetuskan langkah terburu-buru untuk mengelakkan kekurangan bahan api.

Von der Leyen berkata di negara EU yang mempunyai bekalan besar tenaga boleh diperbaharui dan kuasa nuklear dalam campuran elektrik, seperti Sweden, kenaikan harga gas tidak dirasai pengguna.

Presiden suruhanjaya itu juga menggesa negara EU untuk mengambil pengajaran daripada krisis tenaga terakhir sebelum ini yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, dan untuk mengetengahkan langkah-langkah yang direka untuk menyokong mereka yang memerlukan sahaja.

"Semasa krisis lepas, hanya satu perempat daripada bantuan kecemasan disasarkan kepada isi rumah dan perniagaan yang terdedah," katanya.

"Dalam erti kata lain, lebih €350 bilion telah dibelanjakan untuk langkah-langkah yang tidak disasarkan. Dan ini mempunyai kesan yang besar terhadap kewangan negara anggota, dan ia juga menjejaskan langkah-langkah untuk melindungi mereka yang paling memerlukan."

“Janganlah kita mengulangi kesilapan yang sama,” katanya.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video