KUALA LUMPUR: Ahli politik diingatkan supaya tidak mencampuri atau memperkeruhkan lagi krisis adat yang sedang berlaku di Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada institusi adat menyelesaikannya secara dalaman.
Pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub menegaskan, campur tangan politik hanya akan menjejaskan muafakat serta keharmonian dalam sistem Adat Perpatih yang menjadi asas pentadbiran negeri itu.
"Semua pihak khususnya wakil rakyat perlu mengambil pendekatan ‘gencatan’ dan tidak menggunakan situasi tersebut untuk meraih kepentingan politik.
“Dalam konteks ahli politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jangan gunakan ruang ini untuk mengucar-kacirkan lagi keadaan atau menambah ‘perisa’ kepada krisis adat yang berlaku.
"Penyelesaian isu adat perlu diserahkan sepenuhnya kepada struktur hierarki tradisi tanpa tekanan atau pengaruh luar. Jika melibatkan adat, muafakat dalam kalangan pengamal adat itu sendiri perlu menjadi keutamaan. Tidak semua perkara boleh dibuka kepada penilaian umum," katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memberi amaran bahawa kegagalan ahli politik menghormati batas boleh menyebabkan Adat Perpatih terhakis, sekali gus menjejaskan kestabilan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
“Ahli politik perlu tahu had mereka. Jangan melangkaui garis sebagai wakil rakyat. Jika hanya mengejar kuasa tanpa menjulang adat, asas pentadbiran negeri ini boleh terjejas,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui landskap politik semasa yang dinamik menyebabkan parti sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.
“Dalam politik, tiada kawan atau lawan yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan. Sebab itu penting untuk ahli politik tidak memperalatkan isu adat demi keuntungan sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan krisis adat tidak wajar dibawa ke mahkamah kerana sistem adat Negeri Sembilan mempunyai mekanisme tersendiri untuk menyelesaikan pertikaian secara tertutup mahupun terbuka.
Katanya, proses tersebut juga tidak boleh ditetapkan tempoh masa tertentu kerana melibatkan pelbagai lapisan pihak berkepentingan di kawasan seperti Sungai Ujong, Johol, Rembau dan Jelebu.
“Ini keunikan Negeri Sembilan. Penyelesaian perlu dibuat dengan cermat supaya muafakat tidak rosak dan adat terus kekal sebagai tunjang pemerintahan,” katanya.