GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd memutuskan untuk tidak mengenakan surcaj bahan bakar bagi perkhidmatan feri di negeri itu yang melibatkan laluan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) serta Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata dalam keadaan ketidaktentuan harga bahan api global yang memberi tekanan kepada kos operasi, SPPP dan Penang Port kekal komited untuk mengimbangi keperluan kelangsungan operasi dengan kepentingan pengguna.
“Usaha ini termasuk memperkukuh kecekapan operasi serta mengurus tekanan kos secara berhemah tanpa memindahkan beban tersebut kepada rakyat.
“SPPP akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara perdagangan dan pengawal selia pelabuhan dengan memastikan perkhidmatan feri kekal mampan, berdaya tahan dan terus menyokong mobiliti serta aktiviti ekonomi di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yeoh berkata perkhidmatan feri antara komponen penting dalam sistem pengangkutan maritim negara yang bergantung secara signifikan kepada kos bahan api sebagai sebahagian daripada struktur operasi.
Dalam tempoh semasa, beliau berkata ketidaktentuan pasaran tenaga global susulan perkembangan geopolitik di rantau Asia Barat telah menyumbang kepada peningkatan harga bahan api marin, khususnya diesel.
“Ia sekali gus memberi tekanan kepada kos operasi pengendali feri. Keadaan ini menuntut pendekatan pengurusan kos yang lebih berhemah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan mekanisme pengenaan surcaj bahan bakar secara bersasar dan bersifat sementara bermula 20 April sebagai langkah mitigasi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan feri pada peringkat nasional,” katanya.
Yeoh berkata surcaj itu bagaimanapun tidak dikenakan untuk perkhidmatan feri melibatkan laluan PRTU dan PSAH.
-- BERNAMA