Skip to main content

Politik

Keluar BN: Perdana Menteri saran MIC pertimbang semula - Vigneswaran

41763300229_agmmic.jpg
SHAH ALAM: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengakui bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berhubung hasrat untuk berpisah daripada Barisan Nasional (BN).

Dalam pertemuan itu, kata beliau, Anwar mencadangkan agar MIC mempertimbangkan semula perkara tersebut memandangkan kedua-duanya sudah lama menjadi rakan gabungan.

“Saya bercakap dengannya (Anwar), bukan untuk berunding mengenai kerusi tetapi untuk memberitahunya bahawa kami mahu keluar BN.

“Beliau menasihatkan saya untuk menilai semula kerana kami sudah lama bersama BN.

“Tapi kami tetap teguh menyokong Perdana Menteri untuk dua tahun lagi.

"Kami memberi jaminan akan menyokong beliau sepanjang penggal ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC di sini, pada Ahad.

Vigneswaran bagaimanapun memberitahu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum dimaklumkan mengenai perkara itu kerana beranggapan ia  sebagai urusan dalaman parti.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status wakil rakyat MIC, beliau menjelaskan mereka akan kekal sebagai wakil BN  kerana undang-undang antilompat parti tertakluk kepada individu yang melompat parti, bukannya parti politik yang menukar sokongan.


Must Watch Video