ALOR SETAR: Kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pentadbiran kerajaan negeri kekal seperti biasa buat masa ini.
Mereka ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebarang keputusan lanjut berhubung kedudukan kedua-dua ADUN itu hanya akan dibuat selepas proses rayuan mereka selesai.
Menurutnya, keputusan perlu dibuat secara teliti dan mengikut saluran yang betul bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan telah menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menyembah maklum dan mendapatkan pandangan baginda berhubung perkara itu.
“Saya tidak dapat pastilah (tempoh masa), tetapi mereka diberi masa untuk merayu (dalam tempoh) dua minggu kepada Jawatankuasa Rayuan (parti Bersatu) yang akan bersidang," kata Sanusi.
Tambahnya, beliau tidak boleh mengambil tindakan tergesa-gesa kerana jika keputusan itu berubah, ia akan menjejaskan kedudukan mereka dan pentadbiran kerajaan negeri.
"(Saya) tak bolehlah buang (mereka daripada jawatan sekarang). Katakanlah saya buang, tiba-tiba Lembaga Rayuan tarik balik keputusan itu, rugilah dia. Kita aniaya kawan, lepas tu saya nak buat apa? Macam mana kalau tempat tu pula dah diisi orang lain?" katanya lagi.
Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
Pada Sabtu lalu, beliau memaklumkan kedudukan kedua-dua ADUN berkenaan akan diperincikan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah.
Katanya, sebarang tindakan perlu melalui proses pentadbiran yang ditetapkan serta mendapat perkenan baginda.
Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan, sebelum ini memaklumkan Dzowahir dan Abdul Razak dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-duanya dipecat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Bersatu.